SEPANG, 15 Jan (Bernama) -- Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) memperkukuh peranannya sebagai pintu masuk global yang bertanggungjawab menerusi usaha proaktif membendung penyeludupan hidupan liar secara haram.
Pengendalinya, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), memaklumkan bahawa peningkatan tahap kecanggihan sindiket penyeludupan rentas sempadan menuntut tahap kesedaran yang lebih tinggi, keupayaan pengesanan awal serta kewaspadaan berterusan merangkumi keseluruhan ekosistem lapangan terbang.
Walaupun penguatkuasaan sempadan berada di bawah bidang kuasa Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) serta agensi berkaitan seperti Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), MAHB menegaskan pengendali lapangan terbang memainkan peranan sokongan yang kritikal, khususnya pada peringkat awal pemprosesan penumpang dan bagasi.
Sehubungan itu, MAHB memperkenalkan program khusus bertajuk “Eyes at KUL: Enhancing Frontline Awareness Against Wildlife Trafficking”, yang bertujuan melengkapkan petugas barisan hadapan lapangan terbang dengan pengetahuan praktikal bagi mengenal pasti tanda amaran awal serta menyalurkan kebimbangan melalui saluran yang sewajarnya.
Program berkenaan melibatkan bukan sahaja kakitangan Malaysia Airports, malah komuniti lapangan terbang dan pihak berkepentingan termasuk pengendali darat, kakitangan darat syarikat penerbangan serta pihak lain yang sering menjadi individu terawal mengesan tingkah laku luar biasa atau bagasi mencurigakan.
Dalam satu kenyataan, MAHB memaklumkan kira-kira 200 anggota terlibat dalam kumpulan awal pelaksanaan program berkenaan, dengan perancangan untuk meneruskan serta memperluaskan inisiatif itu pada tahun hadapan.
Menurutnya, pendekatan inklusif tersebut menggalakkan tanggungjawab bersama dalam komuniti lapangan terbang, disokong oleh laluan pelaporan yang jelas bagi membolehkan tindakan pantas diambil tanpa menjejaskan peranan agensi penguatkuasaan.
“Inisiatif ini mencerminkan komitmen kami terhadap kelestarian, operasi beretika serta pematuhan kepada piawaian penerbangan antarabangsa, sekali gus mengukuhkan kredibiliti KLIA sebagai hab transit global yang berwaspada dan bertanggungjawab,” menurut kenyataan itu.
Berkongsi pencapaian dalam usaha membanteras penyeludupan hidupan liar, Malaysia Airports memaklumkan Pasukan Keselamatan Penerbangan (AVSEC) menjadi pihak terawal mengesan dan memintas lebih 22 kes penyeludupan hidupan liar antara Januari hingga November 2025, sekali gus menyelamatkan 7,788 haiwan yang diseludup secara haram.
Antara kejayaan utama ialah pemintasan kura-kura bintang India, 116 ekor kura-kura lumpur kala jengking hidup serta dua ekor ungka dalam beberapa kes berasingan hasil tindakan bersepadu bersama AKPS dan Perhilitan.
Sementara itu, Pengurus Komunikasi TRAFFIC Asia Tenggara Elizabeth John berkata petugas barisan hadapan lapangan terbang berada pada kedudukan terbaik untuk mengesan penyeludupan hidupan liar sekiranya mereka peka terhadap ketidakselarasan tingkah laku dan operasi, menerusi kerjasama rapat dengan MAHB.
Beliau berkata lapangan terbang memainkan peranan penting dalam mengganggu rangkaian penyeludupan memandangkan perjalanan udara merupakan kaedah paling pantas dan mudah untuk memindahkan hidupan liar hidup merentasi sempadan, sekali gus menjadikan lapangan terbang sebagai titik pemintasan utama.
Tambahnya, petugas barisan hadapan yang terlatih, termasuk kakitangan pembersihan dan petugas darat, telah memberi kesan signifikan di peringkat global, memandangkan rampasan sering berlaku selepas seseorang mengesan bunyi luar biasa, bau mencurigakan atau kebocoran pada bagasi.
Dalam perkembangan berkaitan, Pemeriksa Bahagian Bagasi AVSEC, Norhayati Osman berkata kewaspadaan serta pematuhan ketat terhadap prosedur operasi standard menjadi faktor utama kejayaan pemintasan terkini di KLIA.
Beliau berkata pegawai AVSEC baru-baru ini mengesan dua ekor ungka yang disembunyikan dalam bagasi daftar masuk semasa pemeriksaan keselamatan dan segera mengaktifkan protokol tindak balas melalui kerjasama rapat dengan agensi penguatkuasaan, sekali gus menegaskan kepentingan petugas barisan hadapan yang cekap dan berwaspada dalam melindungi keselamatan penerbangan serta pemuliharaan hidupan liar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial