AM > BERITA

Sekatan Sementara Grok Hanya Ditarik Balik Jika Isu Kandungan Diselesaikan Sepenuhnya - Fahmi

15/01/2026 03:33 PM

KUALA LUMPUR, 15 Jan (Bernama) -- Sekatan sementara terhadap fungsi kecerdasan buatan (AI) Grok hanya akan ditarik semula sekiranya isu berkaitan penghasilan kandungan mudarat dapat diselesaikan sepenuhnya oleh pihak X yang membangunkan teknologi itu.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata pihak X perlu membuktikan secara menyeluruh bahawa kandungan berbentuk video atau imej yang boleh disalahgunakan tidak lagi dihasilkan sebelum sekatan sementara itu ditarik sepenuhnya.

“Sekiranya mereka berjaya untuk menyahaktifkan dan tidak membolehkan penghasilan bahan-bahan yang dianggap online harm ataupun mudarat ini maka kerajaan akan menghentikan sekatan sementara ke atas Grok.

“Kita ingin pastikan platform media sosial ini lebih selamat terutama untuk kanak-kanak dan keluarga. Bebas daripada penipuan, bebas daripada perkara-perkara seperti masalah Grok,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Centre for Responsible Technology (CERT) di sini hari ini.

Pada 11 Jan lepas, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengarahkan sekatan sementara terhadap akses kepada AI Grok bagi pengguna di Malaysia berkuat kuasa hari yang sama.

Menurut MCMC, langkah itu diambil berikutan penyalahgunaan Grok bagi menjana kandungan lucah dan eksplisit secara berulang selain kewujudan kandungan tidak senonoh serta imej manipulasi tanpa persetujuan membabitkkan wanita dan kanak-kanak walaupun notis kawal selia telah dikeluarkan kepada X Corp dan xAI LLC.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata pihaknya mengambil maklum laporan bahawa aplikasi X telah menyahaktifkan beberapa prompt yang membolehkan penghasilan imej tidak sesuai melalui AI Grok namun MCMC memaklumkan tindakan itu masih belum menyeluruh.

Beliau berkata kerajaan memilih pendekatan kerjasama melalui jalur perundangan dan kawal selia yang teratur selaras dengan pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 yang akan dinasihati oleh Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian.

Fahmi berkata jawatankuasa itu merangkumi pelbagai pihak termasuk Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak, Polis Diraja Malaysia dan wakil agensi berkaitan yang akan menasihati kerajaan dalam isu keselamatan digital.

Beliau juga berkata kerajaan tidak berniat menyekat platform media sosial secara menyeluruh sebaliknya mahu memastikan ia tidak disalah guna untuk tujuan jenayah.

“Jadi, proses itu saya lihat setelah kita menjalinkan hubungan dan perbincangan dengan platform... saya percaya cara ini lebih positif... kita tidak menyekat tetapi ingin pastikan tidak berlaku masalah penyalahgunaan platform terutama oleh penjenayah dan untuk tujuan jenayah,” katanya.

Fahmi berkata kebimbangan terhadap penggunaan Grok bukan hanya disuarakan oleh Malaysia sebaliknya turut dikongsi oleh negara lain termasuk Indonesia dan beberapa negara Eropah.

“Bila banyak negara menyatakan pendirian yang sama, pastinya ada sesuatu yang X perlu perhatikan,” katanya sambil menegaskan keperluan keseimbangan antara kebebasan bersuara dan pencegahan penyalahgunaan platform digital.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan