AM > BERITA

Belia Dambakan Lebih Banyak Peluang Pekerjaan, Kemudahan Sukan Di Kinabatangan Dan Lamag

15/01/2026 04:43 PM

Oleh Abdul Rahman Fahmi Abdul Aziz

KINABATANGAN, 15 Jan (Bernama) -- Golongan belia di Parlimen Kinabatangan berharap wakil rakyat baharu memberi perhatian khusus terhadap pembangunan belia termasuk penyediaan fasiliti sukan yang lebih baik dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bagi merangsang ekonomi setempat.

Muhamad Firdaus Robin, 20, berkata kemudahan sukan yang mencukupi bukan sahaja penting bagi menggalakkan gaya hidup sihat malah berperanan membentuk sahsiah dan menjauhkan belia daripada gejala sosial.

“Langkah ini penting supaya belia tidak tercicir dan dapat memainkan peranan lebih aktif dalam pembangunan komuniti khususnya melalui penglibatan dalam aktiviti sukan serta keusahawanan yang mampu menjana ekonomi setempat,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Pengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Garam II itu berkata isu pengangguran dalam kalangan belia di kawasan itu juga kritikal kerana peluang pekerjaan yang terhad dan tertumpu di pekan Kota Kinabatangan.

"Masih ramai yang tiada kerja malah ada yang sanggup merantau jauh ke Kota Kinabalu serta Lahad Datu, dan saya rasa sedih sebab kami terpaksa berpisah, nak berjumpa pun susah... kawan-kawan saya semuanya merantau jauh-jauh untuk mencari rezeki," katanya yang bekerja sebagai barista di sebuah kedai kopi di sini.

Nurasyarah Aiin Judy@Janudin, 28, pula berkata pembangunan premis perniagaan dan kawasan tarikan pelancongan di kawasan itu amat diperlukan dan berpotensi menjadi pemangkin ekonomi setempat.

“Saya mencadangkan agar lebih banyak pembangunan dan infrastruktur dilaksanakan bagi menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan belia di sini.

“Ketika ini, peluang pekerjaan amat terhad sehingga ramai terpaksa merantau jauh demi mencari rezeki,” katanya yang kini bergantung kepada perniagaan dalam talian sebagai sumber pendapatan untuk menyara kehidupannya dan keluarga.

Sementara itu, Norsakilah Kassim, 23, yang mengundi di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag berharap perhatian serius diberikan terhadap isu kekurangan fasiliti sukan untuk belia di kawasan itu, yang disifatkan masih jauh ketinggalan dan tidak seiring dengan keperluan golongan berkenaan.

"Umur macam saya ini, kami masih lagi aktif bersukan... jadi, kami kurang tempat untuk bersukan seperti dewan... yang ada pun, kebanyakannya untuk badminton sahaja tetapi kalau sukan lain seperti bola tampar, masih kurang," katanya yang bekerja di sebuah kedai makan. 

Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Dis tahun lepas.

PRK Kinabatangan menyaksikan Mohd Kurniawan Naim Moktar yang dipertaruhkan oleh Barisan Nasional (BN) ditentang dua pencabar iaitu Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas).

DUN Lamag pula menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Mohd Ismail Ayob (BN) dengan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).

Parlimen Kinabatangan mempunyai 48,722 pemilih berdaftar dengan 57.17 peratus atau 27,841 pengundi terdiri daripada golongan muda berusia 18 hingga 39 tahun.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian pada 24 Jan manakala 20 Jan sebagai undi awal.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan