AM > BERITA

Kementerian Teliti Semula Keputusan Berkaitan Jumlah Pengguna Media Sosial - Fahmi

15/01/2026 05:54 PM

KUALA LUMPUR, 15 Jan (Bernama) -- Kementerian Komunikasi sedang meneliti kewajaran untuk menyemak semula penetapan jumlah pengguna bagi setiap platform media sosial di Malaysia yang dianggap berdaftar sebagai pemegang Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi [ASP(C)].

Bermula 1 Jan lepas, semua penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial yang mempunyai 8 juta atau lebih pengguna di Malaysia dianggap berdaftar sebagai pemegang lesen  [ASP(C)]  melalui pelaksanaan Peruntukan Deeming di bawah Seksyen 46A Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata langkah itu diambil susulan isu terkini melibatkan Kecerdasan Buatan (AI) Grok yang menjana kandungan mudarat berunsur lucah membabitkan wanita dan kanak-kanak yang menyalahi undang-undang. 

Beliau berkata penetapan jumlah pengguna itu mungkin melalui sedikit penyelarasan dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dipertanggungjawabkan untuk mengkaji perkara tersebut.

“Kita sedang dalam proses untuk menilai kerana yang sangat popular di Malaysia adalah TikTok, Facebook dan beberapa yang lain... X mungkin kurang, tidak terlalu popular tetapi memandangkan masalah Grok ini berlaku maka pihak kementerian dan MCMC melihat ada kewajaran untuk meneliti semula keputusan jumlah pengguna di Malaysia.

“Saya serahkan kepada MCMC untuk mengkaji apa had yang sesuai, apa tindakan yang perlu diambil,” katanya kepada media selepas Majlis Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan Peringkat Lembah Pantai di Sekolah Kebangsaan Bukit Bandaraya di sini hari ini. 

Pada 15 Dis lepas, MCMC memaklumkan langkah penetapan jumlah pengguna itu bertujuan memastikan penyedia perkhidmatan berskala besar yang menawarkan perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial kepada pengguna di Malaysia beroperasi dalam kerangka undang-undang serta kawal selia negara secara teratur, konsisten dan berkesan.

Bagaimanapun, X yang dahulunya dikenali sebagai Twitter memaklumkan jumlah penggunanya di Malaysia tidak mencapai nilai ambang, iaitu 8 juta orang.

Pada 11 Jan lepas,  MCMC mengarahkan sekatan sementara terhadap akses kepada AI Grok bagi pengguna di Malaysia berkuat kuasa hari yang sama berikutan penyalahgunaannya bagi menjana kandungan lucah dan eksplisit secara berulang.

Dalam pada itu, Fahmi berkata kerajaan berhasrat melaksanakan pengesahan umur pengguna platform media sosial menerusi penggunaan tiga dokumen rasmi iaitu MyKad, pasport dan MyDigital ID.

“Ini yang sedang diteliti oleh mekanisme pengesahan identiti Electronic Know Your Customer (EKYC)... kita llihat ada beberapa negara telah berjaya (melaksanakan had umur) tetapi mekanisme yang kita akan guna berbeza kerana Malaysia mempunyai keunikan.

“Kita ada mekanisme MyKad, sebagai contoh... bukan semua negara mempunyai kad (pengenalan) seperti kita... jadi, beberapa perkara ini unik kepada Malaysia maka kita akan usahakan mengikut acuan kita,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan