AM > BERITA

Pengalaman Tempa Sendiri Cincin Perak Mengujakan, Beri Kepuasan Pelanggan

16/01/2026 12:57 PM

Oleh Habsah Ismail

KOTA BHARU, 16 Jan (Bernama) -- Pada mulanya, pelanggan sekadar ingin mencuba sesuatu yang baharu, namun pengalaman menempa cincin perak ternyata memberikan kepuasan berbeza kepada mereka apabila setiap proses, bermula dengan melebur sehingga mengilatkan permukaannya, dapat dilakukan dengan sendiri dan secara manual.

Muhammad Arfan Jazmi Mohd Sharizan, 19, berkata dia tidak menyangka kunjungan kali pertama ke Taman Emas Malaysia telah membuka matanya apabila mengetahui orang awam boleh bertukang sendiri untuk menghasilkan cincin mengikut reka bentuk pilihan.

"Saya cuma bayar RM98 dan diajar cara mereka bentuk cincin yang diperbuat daripada perak, sekali gus memberikan pengalaman pertama yang sangat menarik dan saya tak sangka prosesnya begitu terperinci.

"Saya datang dengan idea ringkas, tetapi tukang emas bantu perincikan semuanya, termasuk lakaran dan kemasan akhir, menjadikan cincin ini lebih istimewa," katanya ketika ditemui Bernama di Akademi Emas Malaysia (AKEMA), di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Arfan Jazmi berkata pengalaman itu bukan sahaja memberikan kepuasan menghasilkan cincin sendiri, malah turut membuka peluang menambah ilmu pengetahuan berkaitan pembuatan aksesori emas serta perak dan boleh menimbulkan minat terhadap bidang pertukangan sebagai satu kerjaya.

Sementara itu, tukang cincin, Wan Muhammad Faris Wan Mohd Azemi, 36, berkata proses pembuatan cincin memerlukan tahap kesabaran tinggi, khususnya pada peringkat pemotongan dan kemasan bagi memastikan hasil yang selamat dan selesa dipakai.

"Bahagian paling mencabar adalah semasa memotong dan membentuk cincin. Kalau tersilap, bentuk boleh rosak, jadi kita perlu teliti dan fokus.

"Proses custom ring ini bermula dengan melebur perak sebelum logam itu melalui mesin gelek (rolling) bagi mendapatkan ketebalan yang sesuai, diikuti proses membentuk cincin berdasarkan lakaran atau rekaan yang dipilih pelanggan," katanya.

Wan Muhammad Faris berkata selepas itu, bentuk cincin akan dipotong menggunakan gergaji khas sebelum melalui proses mengikir untuk kemasan, contohnya untuk cincin seperti belah rotan, proses itu boleh mengambil masa hingga dua jam bagi memastikan bucu tidak tajam dan saiz sesuai dengan jari pemakai.

"Proses kemasan diteruskan menggunakan kertas pasir daripada gred rendah 320 hingga gred tinggi 1,200 bagi menghasilkan permukaan yang licin, berkilat serta menghilangkan kesan calar sebelum melalui proses buffing untuk penggilapan akhir," katanya dan menambah menerusi proses itu, cincin akan kelihatan berkilau dan kemas setanding dengan barangan perhiasan yang dijual di pasaran.

Pengarah Hal Ehwal Pelajar AKEMA, Zulna Haswani Hashim berkata program custom ring bukan sahaja memberikan pengalaman praktikal kepada orang awam, tetapi juga menjadi pintu masuk kepada latihan kemahiran yang lebih formal dalam industri pertukangan emas dan perak.

Beliau berkata pelanggan yang berminat boleh melanjutkan pelajaran melalui program kemahiran ditawarkan akademi itu termasuk penyediaan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) sebagai pengiktirafan rasmi dalam bidang berkenaan.

"Program custom ring dan latihan kemahiran yang ditawarkan AKEMA dilihat mampu memperkukuh pembangunan industri emas tempatan, selain menarik minat golongan muda untuk menceburi bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berasaskan kemahiran tradisional yang bernilai tinggi.

"Kelantan sudah lama terkenal dengan asas pertukangan emas yang kukuh, namun AKEMA diwujudkan sebagai pusat pemetaan dan pengolahan kemahiran bagi memperkasakan bakat tempatan secara formal selari dengan keperluan industri semasa," katanya.

Beliau berkata AKEMA turut memberikan fokus kepada pembangunan TVET apabila menyediakan peluang latihan kepada pelajar, termasuk golongan berpendapatan rendah B40 yang berminat menceburi bidang pertukangan emas, tetapi berdepan kekangan kewangan.

"Hasil kerjasama dengan pihak korporat, akademi ini menyediakan dana tajaan kepada pelajar daripada kategori B40 bagi pengambilan Februari depan, sekali gus membuka ruang untuk anak Kelantan mengikuti latihan kemahiran secara formal," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan