AM > BERITA

Agenda Dakwah Perlu Pendekatan Baharu - Zulkifli

16/01/2026 03:01 PM

KUALA LUMPUR, 16 Jan (Bernama) -- Agensi berkaitan Islam, penggiat seni, serta platform penyiaran radio dan televisyen perlu bergerak seiring pendekatan baharu bagi membina kefahaman Islam yang lebih menyeluruh termasuk dalam kalangan masyarakat bukan Islam untuk keharmonian negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata usaha dakwah pada masa kini tidak boleh bersifat selesa atau terhad kepada kelompok tertentu sahaja, sebaliknya perlu diperluas secara kreatif ke platform digital bagi mencapai segmen masyarakat yang lebih luas, khususnya golongan muda.

Dalam hal ini, beliau berkata Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menerusi IKIMfm perlu terus meneroka pendekatan baharu bagi menyampaikan mesej Islam yang bersifat mendidik, membimbing dan menghiburkan bukan sahaja kepada umat Islam, malah kepada bukan muslim.

“Kerana dalam masyarakat majmuk di negara kita ini, kefahaman Islam bukan sahaja diperlukan untuk orang Islam tetapi ‘ia pengetahuan dan kefahaman yang munasabah’  kepada orang bukan Islam terhadap Islam itu juga amat penting,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-25 IKIMfm dan Kempen Mahabbah MADANI Ramadan 1447H, di sini hari ini.

Zulkifli juga menggesa IKIMfm memainkan peranan lebih aktif sebagai medium penyebaran mesej Islam yang membawa nilai kasih sayang, rahmah dan saling memahami, selari dengan keperluan masyarakat masa kini yang berdepan pengaruh toksik di media sosial.

Beliau turut berkata pendekatan dakwah yang bersifat marah dan menghukum perlu digantikan dengan pendekatan yang lebih berhemah dan penuh hikmah.

“Itu yang kita cuba lakukan dan insya-Allah, saya sangat-sangat optimistik, sangat yakin kita boleh melakukannya dan kita perlu melakukanya secara bersama,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan