AM > BERITA

10 Sekolah Berasrama Di N.Sembilan Dipasang CCTV, Kukuh Aspek Keselamatan

16/01/2026 04:05 PM

PORT DICKSON, 16 Jan (Bernama) -- Sepuluh sekolah berasrama di Negeri Sembilan masing-masing dilengkapi lapan unit kamera litar tertutup (CCTV) membabitkan kos keseluruhan RM150,000 bertujuan memperkukuh aspek keselamatan pelajar, kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata pemasangan bagi fasa pertama menerusi peruntukan daripada Kementerian Pendidikan (KKM) itu siap dilaksanakan penghujung tahun lepas manakala pemasangan fasa kedua membabitkan tiga sekolah asrama harian di Seremban, Kuala Pilah dan Rembau bermula bulan depan.

Aminuddin berkata pemasangan CCTV bagi sekolah lain pula akan dilaksanakan secara berperingkat pada masa akan datang mengikut keperluan dan keutamaan.

"Inisiatif itu membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan keselamatan murid dan guru sekali gus mengurangkan kebimbangan ibu bapa terhadap aspek keselamatan anak-anak di sekolah. Faktor keselamatan merupakan keutamaan dan janji kita kepada ibu bapa.

“Jika ada berlaku sesuatu, tindakan tetap akan diambil dan pendekatan keselamatan sentiasa ditambah baik dari semasa ke semasa,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan di sini hari ini.

Beliau turut berkata setiap insiden yang berlaku terutama dalam kawasan sekolah tidak dipandang ringan sebaliknya sentiasa diberi penambahbaikan bagi memastikan institusi pendidikan berada dalam keadaan terbaik.

Aminuddin berkata penambahbaikan itu termasuk menempatkan wakil polis di sekolah terpilih, selain pemantauan rapi di peringkat kementerian, jabatan pendidikan, pentadbiran sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

“Saya yakin warga pendidik kita mampu memberikan perlindungan terbaik kepada anak murid. Insya-Allah, sama-sama kita berdoa agar keselamatan mereka sentiasa terpelihara, ibu bapa tidak perlu bimbang lagi," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan