AM > BERITA

Masjid Habib Siap Dibina, Diisytihar Masjid Daerah Timur Laut

16/01/2026 04:24 PM

GEORGE TOWN, 16 Jan (Bernama) -- Masjid Habib yang terletak di Bandar Tanjong Pinang, di sini yang siap dibina sepenuhnya dengan kos sebanyak RM30 juta, kini secara rasmi diisytiharkan sebagai Masjid Daerah Timur Laut, sekali gus menjadi pusat ibadah dan komuniti baharu di Pulau Pinang.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Habib Datuk Seri Meer Sadik Habib berkata pembinaan yang bermula tahun 2022 itu, adalah bagi merealisasikan impian murni Allahyarham ayahnya Datuk Habib Mohamed Abdul Latif untuk membina sebuah masjid di kampung halaman keluarga mereka di Pulau Pinang.

“Masjid ini bermula daripada impian arwah ayahanda saya yang sering menyuarakan hasrat untuk membina sebuah masjid. Walaupun menyedari ia bukan sesuatu yang mudah, saya berniat untuk merealisasikan hasrat tersebut dan beliau meninggal dunia beberapa hari kemudian,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. 

Beliau ditemui selepas Majlis Perasmian dan Pengisytiharan Masjid Habib sebagai Masjid Daerah Timur Laut oleh Yang di Pertua Negeri Tun Ramli Ngah Talib.

Turut hadir bersama Timbalan Ketua Menteri I Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP).

Meer Sadik berkata masjid itu, yang dibina dan dibiayai sepenuhnya oleh Kumpulan Habib, mampu menampung lebih daripada 1,600 jemaah pada satu masa dan ia dilengkapi kemudahan lain untuk kegunaan awam seperti bilik kuliah, bilik mesyuarat serta dewan serbaguna untuk majlis perkahwinan dan acara tertentu bagi memenuhi keperluan masyarakat setempat.

Beliau berkata Masjid Habib bukan sekadar tempat ibadah, sebaliknya berperanan sebagai pusat komuniti yang menyatukan masyarakat tanpa mengira latar belakang, selain menjadi medium dakwah dan pengenalan keindahan Islam kepada pelancong bukan Islam.

“Apa yang lebih istimewa, perasmiannya tepat pada masanya menjelang ketibaan bulan Ramadan, sekali gus menjadi pelengkap kepada hasrat kami untuk menyediakan sebuah ruang ibadah yang dapat dimanfaatkan sepenuhnya, terutama sekali pada bulan yang penuh keberkatan,” katanya.

Meer Sadik berkata Masjid Habib direka dengan konsep yang mengutamakan keselesaan dan kemudahan persekitaran, dengan reka bentuknya menitikberatkan kemudahan serta kemesra pengguna, khususnya untuk warga emas, wanita dan kanak-kanak malah keutamaan diberikan kepada aspek fungsi dan keselesaan, tanpa hiasan yang berlebihan.

Beliau berkata selain itu, sebagai tanda penghargaan kepada golongan wanita yang merupakan antara penyokong utama jenama Habib, perhatian turut diberikan di ruang persalinan wanita, yang direka dengan selesa, praktikal dan terjaga.

“Selaras dengan latar belakang keluarga dalam industri barangan kemas, reka bentuk kubah masjid itu diinspirasikan daripada potongan intan yang unik, sebagai penghormatan kepada budaya pemakaian barangan kemas manakala rekaan serta hiasan dalaman masjid ini pula menerapkan unsur seni Jawi Peranakan Pulau Pinang, yang dihasilkan melalui proses penyelidikan dan pemerhatian yang teliti.

Sementara itu, Mohamad berkata tapak Masjid Habib itu mempunyai latar belakang sejarah yang unik, kerana tanah seluas 8,878.8 meter persegi atau kira-kira 2.19 ekar tersebut merupakan tanah serahan daripada pemaju Eastern & Oriental Berhad (E&O), sebagai sebahagian daripada syarat Pelan Kebenaran Merancang bagi pembangunan projek pulau buatan yang dinamakan sebagai Pulau Andaman. 

Beliau berkata tanah itu, telah didaftarkan atas nama MAINPP pada 5 Mei 2004 sebagai Lot PT 702, Seksyen 1, Tanjung Tokong, khusus bagi tujuan pembinaan masjid dan pada peringkat awal, kawasan ini hanyalah tanah lapang yang pernah digunakan sebagai tapak kontena pejabat pemaju serta kawasan perniagaan sementara yang dikenali sebagai “Penang Downtown Tanjong Tokong”.

“Inisiatif oleh Kumpulan Habib itu merupakan contoh terbaik bagaimana sektor korporat mampu memainkan peranan besar dalam pembangunan ummah dan bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Datuk Seri Meer Sadik dan keluarga atas sumbangan yang amat bermakna ini,” katanya.

Sebelum ini Masjid Terapung Tanjong Bunga menjalankan fungsi sebagai Masjid Daerah Timur Laut, namun masjid itu sedang menjalani proses pengubahsuaian dan fungsi masjid Daerah Timur Laut dipindahkan ke Masjid Habib.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan