AM > BERITA

AmanahRaya REIT Beri Kerjasama Penuh Siasatan Insiden Letupan Di Universiti Swasta

17/01/2026 04:16 PM

KUALA LUMPUR, 17 Jan (Bernama) -- AmanahRaya Real Estate Investment Trust (AmanahRaya REIT) akan terus memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa susulan siasatan masih dijalankan berhubung insiden letupan di sebuah universiti swasta di Bukit Damansara, sambil menekankan keselamatan serta kesejahteraan komuniti kampus kekal menjadi keutamaan.

Menurut kenyataan AmanahRaya REIT, sejak insiden Isnin lepas itu, pihaknya telah mengambil langkah proaktif termasuk memudahkan penilaian komprehensif terhadap kawasan terjejas dan struktur sekitarnya, melantik pasukan forensik bebas serta mengesahkan kerjasama penuh dengan pihak berkuasa berkaitan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, polis dan perkhidmatan kecemasan.

“AmanahRaya REIT mengambil perhatian dan selaras sepenuhnya dengan pendirian pihak berkuasa bahawa siasatan sedang dijalankan dan tiada kesimpulan yang dicapai pada peringkat ini.

“Dalam hal ini AmanahRaya REIT menyokong proses penyiasatan sehingga semua penemuan disahkan dan dimuktamadkan,” menurut kenyataan itu.

Sebagai pemilik hartanah, AmanahRaya REIT memaklumkan pihaknya bekerjasama dengan universiti terlibat serta pengurus hartanah yang dilantik Knight Frank Malaysia Sdn Bhd, bagi melaksanakan pemeriksaan keselamatan, penilaian risiko dan langkah berjaga-jaga di premis terjejas.

Menurut kenyataan itu, langkah berkenaan merupakan sebahagian daripada peranan berterusan AmanahRaya REIT dalam menyokong persekitaran kampus yang selamat dan terjamin, termasuk semakan serta pelaksanaan protokol penyelenggaraan dan keselamatan rutin sebagai amalan pengurusan aset berhemat.

AmanahRaya REIT turut menyatakan komitmennya untuk terus menyokong universiti dan komuniti kampus, sepanjang tempoh siasatan serta memaklumkan bahawa kemas kini lanjut akan diberikan apabila maklumat yang disahkan tersedia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan