AM > BERITA

Nadia KESUMA Dikesan Sudah Keluar Dari Lapangan Terbang Di Jeddah - Mohamad

17/01/2026 07:07 PM

KUALA LUMPUR, 17 Jan (Bernama) -- Wisma Putra mengesahkan pelakon Nadia Kesuma yang dilaporkan gagal dikesan semasa transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah pada Khamis lepas, didapati telah meninggalkan kawasan lapangan terbang berkenaan. 

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata pengesahan itu diterima daripada pihak Imigresen Arab Saudi oleh konsulat Malaysia di Jeddah.

“Kini selepas 20 jam beliau gagal dikesan, (kes beliau) sudah boleh diklasifikasikan sebagai orang hilang dan saya dah arahkan pejabat konsulat Malaysia untuk buat yang terbaik membantu usaha pencarian,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Perhimpunan Agung UMNO 2025 di sini hari ini.

Mohamad berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan kehilangan pelakon filem “Syaitan Munafik” itu yang gagal dikesan selepas penerbangannya ke London dari Kuala Lumpur sedang transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah, pada Khamis.

Beliau berkata konsulat Malaysia mempunyai kerjasama baik dengan pihak polis Arab Saudi bagi memastikan usaha pencarian berjalan lancar.

“Kita mesti percaya akan kecekapan mereka (polis Arab Saudi) dan kita minta supaya pihak keluarga bertenang  dan kita akan terus berusaha sebaik mungkin untuk mencari beliau,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad menegaskan pihak agensi pelancongan yang membawa Nadia juga perlu bertanggungjawab untuk menguruskan kes kehilangan pelakon berkenaan.

Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi Datuk Syed Bakri Syed Abdul Rahman sebelum ini memaklumkan kepada Bernama bahawa laporan mengenai kehilangan pelakon itu telah dibuat dan pihaknya menunggu hasil siasatan polis Arab Saudi. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan