AM > BERITA

Hanya Satu PPS Masih Aktif Di Sarawak Dengan 24 Mangsa

17/01/2026 05:47 PM

BINTULU, 17 Jan (Bernama) -- Hanya satu pusat pemindahan sementara (PPS) banjir di Sarawak masih beroperasi setakat pukul 4 petang ini selepas dua lagi PPS ditutup secara berperingkat sejak tengah hari tadi.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memaklumkan, PPS Balai Raya Sebauh kini menjadi satu-satunya pusat yang masih aktif, menempatkan seramai 24 mangsa daripada 15 keluarga.

Menurut kenyataan itu, PPS Dewan Suarah Bintulu yang menempatkan 121 mangsa daripada 32 keluarga ditutup pada pukul 1.30 tengah hari, manakala PPS Dewan Sri Kemena, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sebauh yang menempatkan 64 mangsa daripada 18 keluarga ditutup pada 12 tengah hari.

Banjir di Sarawak dilaporkan bermula sejak 31 Dis lalu susulan hujan lebat berterusan, menyebabkan beberapa kawasan di sekitar bandar raya Kuching dinaiki air.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menerusi portal Public InfoBanjir melaporkan paras air di dua stesen, iaitu Long Teru di Miri dan Nanga Lemai B, masih melepasi paras bahaya, manakala stesen Stapang B di Sibu berada pada paras amaran, namun kesemuanya menunjukkan trend menurun.

Paras air di lapan sungai lain pula berada pada paras waspada dan turut merekodkan trend menurun.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan