SEREMBAN, 18 Jan (Bernama) -- Pantai Port Dickson kekal selamat untuk dikunjungi dan menjalankan aktiviti air meskipun berlaku satu insiden melibatkan seorang remaja perempuan disengat ubur-ubur di perairan kawasan itu tiga hari lepas.
Pengarah Perikanan Negeri Sembilan Kasim Tawe berkata kejadian itu adalah kes terpencil dan mangsa dilaporkan dalam keadaan stabil dan semakin baik selepas menerima rawatan di Hospital Port Dickson.
Beliau berkata hasil semakan dijalankan bersama nelayan tempatan mendapati tiada ledakan ubur-ubur dalam jumlah besar dikesan di perairan Port Dickson setakat ini.
“Orang ramai tidak perlu bimbang, tiada halangan untuk pengunjung menjalankan aktiviti air dan mandi-manda, keadaan pantai adalah selamat dan terkawal,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Kasim berkata daripada semakan data pihaknya mendapati kali terakhir kejadian sengatan ubur-ubur direkodkan di perairan Port Dickson adalah pada 2013.
Beliau bagaimanapun menegaskan pihaknya akan terus memantau situasi semasa dan mengambil langkah sewajarnya jika berlaku sebarang kes berulang demi keselamatan pengunjung.
Kasim berkata pengunjung juga tidak perlu bimbang namun langkah berjaga-jaga perlu diambil bagi memastikan keselamatan ketika menjalankan aktiviti air di kawasan pantai itu.
Terdahulu, media melaporkan seorang remaja perempuan berusia 13 tahun cedera ringan selepas terkena sengatan ubur-ubur ketika mandi di Pantai Cahaya Negeri.
Mangsa kemudianya dilaporkan stabil setelah mendapatkan rawatan awal di Hospital Port Dickson.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial