AM > BERITA

Bapa Hilang Selepas Selamatkan Anak Di Sungai Lebir Ditemukan Lemas

18/01/2026 04:35 PM

GUA MUSANG, 18 Jan (Bernama) -- Seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas menyelamatkan anaknya ketika dihanyutkan arus di Sungai Lebir di sini semalam, ditemukan lemas tengah hari tadi.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan berkata mayat Mohamad Fakarudin Abdul Halim @ Awang, 40, ditemukan oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) lebih kurang tiga meter dari tempat terakhir mangsa tenggelam pada 12.27 tengah hari.

“Operasi tamat dan tutup pada 2.05 petang dan mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut,” menurut kenyataan itu hari ini.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata operasi mencari dan menyelamat mangsa diperluas hingga satu kilometer dari tempat kejadian.

Beliau berkata operasi yang bermula 9.30 pagi tadi itu turut disertai tiga agensi, iaitu polis, JBPM dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dengan kekuatan 15 anggota. 

Sementara itu, isteri mangsa Nor Asikin Abu Bakar, 41, pula berkata anaknya masih trauma dengan kejadian itu dan kerap menangis serta memanggil-manggil ayahnya sejak semalam.

“Suami membawa tiga orang anak dan seorang anak saudara ke sungai untuk mandi manakala saya pula tidak turut serta dan berada di rumah.

“Saya dimaklumkan tentang kejadian lemas ini daripada seorang daripada anak yang turut serta pergi mandi bersama ayahnya dan meminta untuk menghubungi segera pihak bomba,” katanya.

Saksi kejadian, Muhammad Lohman, 49, berkata mangsa sempat timbul ke permukaan air sebanyak dua kali sebelum hilang daripada pandangan. 

“Ketika itu saya sedang memancing dan mendengar mangsa meminta tolong. Saya dapat melihat mangsa menolak anaknya yang diselamatkan ke tebing. 

“Jarak saya dengan lokasi mangsa lemas kira-kira 12 meter dan kejadian berlaku terlalu pantas. Saya bergegas menyelamatkan anaknya yang berada di seberang sungai serta memaklumkan orang ramai tentang kejadian berlaku,” katanya.

Semalam, Mohamad Fakarudin Abdul Halim dikhuatiri lemas selepas berjaya menyelamatkan anaknya Mohamad Afiq Nazmi, 10, di sungai berkenaan sebelum dihanyutkan arus.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan