AM > BERITA

Kementerian Pertahanan Pandang Serius Penyebaran Maklumat Sulit, Spekulasi Kepimpinan ATM Di Media Sosial

18/01/2026 07:45 PM

KUALA LUMPUR, 18 Jan (Bernama) -- Kementerian Pertahanan memandang serius tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu yang secara terbuka dan berani menyebarkan naratif spekulasi berkaitan urusan perjawatan strategik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi media sosial.

Dalam kenyataan hari ini, kementerian itu memaklumkan tindakan terbabit termasuk menularkan senarai nama pegawai kanan ATM adalah satu bentuk salah laku yang jelas mencabar kredibiliti sistem pengurusan pertahanan negara.

Menurut Kementerian Pertahanan, tindakan mendahului proses rasmi itu bukan sahaja membuka ruang kepada persepsi negatif, tetapi juga boleh menjejaskan moral pegawai serta mengganggu gugat rantaian pemerintahan dalam ATM.

“Perlu dijelaskan bahawa sebarang ketetapan perjawatan dan kenaikan pangkat pegawai ATM adalah tertakluk kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim selaku Pemerintah Tertinggi ATM atas nasihat Majlis Angkatan Tentera (MAT).

“Justeru, sebarang hebahan pramatang dianggap sebagai satu bentuk ketidakhormatan kepada institusi diraja dan hierarki kepimpinan ATM,” menurut kenyataan itu.

Kementerian itu turut memberi peringatan bahawa sebaran maklumat sulit atau dalaman secara terbuka boleh mengundang ancaman kepada keselamatan maklumat serta kedaulatan negara.

“Pihak yang terlibat dinasihatkan supaya menghentikan serta-merta sebarang tindakan yang boleh mengeruhkan keadaan, mencemarkan imej ATM serta mengelirukan masyarakat,” menurut kenyataan itu.

Kementerian Pertahanan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang didapati terlibat menyebarkan maklumat sulit kerajaan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, mahupun Akta Angkatan Tentera 1972 atau Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 berikutan penyebaran maklumat dalaman kerajaan menerusi platform media sosial.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak memuat naik, mengulas atau menyebarkan semula kandungan berunsur spekulasi tersebut, sebaliknya merujuk pengumuman rasmi melalui saluran kementerian dan ATM,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan