GEORGE TOWN, 18 Jan (Bernama) -- Jenazah Allahyarham Nadia Kesuma dijangka dikebumikan pagi esok mengikut waktu tempatan di Jeddah, Arab Saudi, kata Ahli Dewan Undangan Negeri Bertam Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Reezal Merican yang juga Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas berkata perkara itu dimaklumkan suami pelakon berkenaan, Prof Dr Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah, 57, ketika ditemui bersama ahli keluarganya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tengah hari tadi untuk berlepas ke Jeddah.
"Saya dimaklumkan bahawa jenazah Allahyarhamah Nadiah Kasumawati Abdul Karim (Nadia Kesuma) akan dikebumikan pada pagi esok mengikut waktu tempatan di Jeddah, Arab Saudi, tertakluk kepada kelancaran urusan di sana," katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.
Ketika ini Muhammad Kamarul Kabilan dan anak perempuannya dalam perjalanan ke Jeddah bagi menyelesaikan segala urusan jenazah di King Fahad Hospital termasuk dokumentasi serta pengambilan barang-barang peribadi Allahyarham Nadia Kesuma.
Sementara itu, Muhammad Kamarul Kabilan yang juga pensyarah di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang dan bapa kepada tiga anak berusia 11 hingga 15 itu dalam hantaran Facebook berkata anak-anaknya sangat merindui Allahyarham Nadia Kesuma.
"Anak-anak juga sangat merinduimu malah Deena menangis teresak-esak selepas menerima khabar pemergianmu, terpaksa pujuk Iqi kerana dia mahukanmu dan mahu ikut berjumpa denganmu," menurut hantaran itu.
Beliau turut berkongsikan menerima ratusan mesej daripada rakan-rakan serta orang yang tidak dikenali susulan perkhabaran sedih kematian isterinya.
Muhammad Kamarul Kabilan menerusi hantaran itu turut mengimbau kenangan bersama Allahyarham Nadia Kesuma atau nama sebenarnya, Nadiah Kasumawati Abdul Karim, 50, dan memaklumkan tidak sabar menatap wajah arwah isterinya itu.
Dalam pada itu, seorang jiran Allahyarham di Bertam, dekat sini, Syahrizal Ibrahim, 46, ketika ditemui melahirkan rasa terkejut dengan berita pemergian pelakon itu.
Syahrizal berkata penduduk di kawasan kejiranan itu mengadakan majlis bacaan surah Yasin dan solat hajat malam tadi di Surau Al-Muttaqin sebagai ikhtiar mendoakan pelakon itu ditemukan semula dalam keadaan selamat.
Menurutnya, Nadia Kesuma seorang yang ceria dan rajin menyertai program dan kenduri diadakan penduduk di situ.
"Kami semua memang terkejut apabila baru dapat tahu pagi tadi Nadia (Kesuma) sudah meninggal dunia, saya telah berjiran dengan keluarga Allahyarham lebih lima tahun," katanya.
Terdahulu, Bernama melaporkan berita kematian Nadia Kesuma disahkan suaminya melalui hantaran di Facebook pagi tadi yang memaklumkan isterinya meninggal dunia pada 8.07 pagi Khamis lepas, hari pelakon itu dilaporkan gagal dikesan.
Nadia Kesuma menyertai pakej Umrah-London-Paris sebuah agensi pelancongan bersama-sama 21 jemaah lain dan berlepas dari KLIA pada 1.48 pagi, Selasa lepas.
Sebelum ini, Presiden Gagasan Transformasi Anak Seni (GTAS) Anne Abdullah yang juga rakan baik Nadia Kesuma memaklumkan pelakon filem Syaitan Munafik dan Kudeta itu gagal dikesan selepas tiba di Jeddah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial