AM > BERITA

Penyambungan Silang Rangkaian Paip Langkah Mitigasi Atasi Masalah Air Di Papar

18/01/2026 10:25 PM

PAPAR, 18 Jan (Bernama) -- Penyambungan silang rangkaian paip dari Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon ke paip tangki utama di Kawang, di sini ialah langkah mitigasi serta-merta dalam usaha menangani gangguan bekalan air yang serius sejak Disember tahun lepas di daerah itu.

Ahli Parlimen Papar Datuk Armizan Mohd Ali berkata penyambungan silang itu mengurangkan jarak bekalan air dari 33 kilometer (km) kepada 10.3 km sementara Projek Naik Taraf LRA Kogopon II yang bermula pada Ogos 2023, dijangka siap pada Ogos ini.

Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata kapasiti LRA Kogopon juga telah ditambah sebanyak 10 peratus untuk menampung keperluan kritikal penduduk di mukim Kinarut dan Kawang yang disalurkan melalui penyambungan silang rangkaian paip berkenaan.

“Bagi melaksanakan langkah mitigasi peningkatan kapasiti rawatan 10 peratus ini, kerja-kerja yang terlibat termasuklah penyambungan silang rangkaian paip sedia ada dari LRA Kogopon ke mukim Kinarut dan Kawang di dua kawasan.

“Kerja-kerja turut membabitkan penggantian injap di LRA Kogopon sedia ada dan penggantian pam air di loji sedia ada,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pada Oktober tahun lepas, Armizan berkata pembinaan LRA Kogopon II dengan peruntukan kira-kira RM365 juta itu mampu meningkatkan kapasiti bekalan air di LRA Kogopon daripada 40 juta liter sehari (JHL) kepada 80 JHL.

Armizan berkata kerja-kerja di lapangan dijalankan secara berterusan selama 24 jam sehari yang telah bermula pada 9 Jan lepas dan dijangka selesai pada 24 Jan ini.

Beliau berkata proses penggantian injap akan memerlukan loji ditutup sementara untuk tempoh lebih kurang 10 jam bermula lewat malam Selasa ini (20 Jan), namun tertakluk kepada keadaan cuaca.

“Proses penutupan sementara loji ini dijangka memberikan kesan kepada beberapa kawasan di daerah Papar, dan akan dimaklumkan secara rasmi oleh pihak Jabatan Air Negeri Sabah dalam masa terdekat. Kita ikhtiarkan sehabis baik untuk menghentikan kesusahan yang dihadapi penduduk setempat sejak sekian lama,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan