AM > BERITA

Melaka Umum Cuti Khas Kepada Penjawat Awam Pada 1 Ramadan

19/01/2026 11:12 AM

MELAKA, 19 Jan (Bernama) -- Kerajaan Negeri Melaka mengumumkan cuti khas kepada semua penjawat awam negeri dan Persekutuan di negeri itu pada 1 Ramadan ini, yang dijangka jatuh pada 19 Feb.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata bagi menghargai khidmat lelah semua penjawat awam di Melaka yang bertungkus lumus melaksanakan pelbagai program pada tahun lepas.

“Ada pula yang sampai suami mengadu di komen, katanya, “Tok kesian dekat saya, hujung minggu pun isteri kena kerja”! Saya faham…saya dengar dan saya amat memahami…inilah gambaran sebenar komitmen penjawat awam negeri Melaka, sanggup bertugas siang dan malam, berhujan berpanas, meninggalkan keluarga tercinta demi rakyat Melaka.

“Mudah-mudahan cuti ini dapat dimanfaatkan sebaiknya untuk membuat persiapan menyambut Ramadan bersama keluarga. Semoga dengan cuti Ramadan ini dapat mendekatkan yang jauh, dapat memesrakan yang lama tak dapat bersama-sama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 bertemakan Tahun Pelaksanaan: Petunjuk Kemampanan, Menyelesaikan Amanah, Memperkukuh Prestasi di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini hari ini.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Datuk Ibrahim Durum dan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Azhar Arshad.

Menerusi pengumuman itu, Melaka akan mempunyai enam hari cuti umum dan cuti hujung minggu secara berturut-turut bermula sambutan Tahun Baharu Cina pada 17 dan 18 Feb, cuti khas 1 Ramadan (19 Feb), Hari Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu (20 Feb) serta pada Sabtu dan Ahad (21 dan 22 Feb).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan