AM > BERITA

Anwar Rakam Penghargaan Semua Pihak Jayakan Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025

19/01/2026 06:11 PM

SERDANG, 19 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan penganjuran Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.

Anwar berkata semua pihak yang bertugas termasuk pasukan keselamatan, penjawat awam dan petugas pembersihan berusaha bertungkus lumus mengangkat nama baik Malaysia di mata dunia.

"Bermula daripada tukang cuci hingga seni kebudayaan yang dipersembahkan (sepanjang Persidangan ASEAN 2025) begitu mempesona.

“PDRM (Polis Diraja Malaysia) menunjukkan prestasi luar biasa mengendali tanpa satu insiden yang mengganggu kita, (juga) kastam (Jabatan Kastam Diraja Malaysia), imigresen (Jabatan Imigresen) pasukan kawalan swasta dan lain-lain.

“Yang saya nak nyatakan adalah, tugas memang berat tapi saya rasa ringan sekali (kerana) bila lihat selesai taklimat 11.30 malam, 12 tengah malam tercegat lagi pasukan keselamatan, pegawai-pegawai dari Kementerian Luar, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

“Begitu juga semua kementerian lain, tak kira masa, tak ada nampak lelah dan letih kerana semua berkhidmat kerana Allah untuk mengangkat Malaysia di persada dunia," katanya ketika berucap pada Majlis Penghargaan Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 di sini.

Yang turut hadir isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan barisan Jemaah Menteri lain.

Hadir sama Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan ketua-ketua setiausaha kementerian.

Anwar berkata kesepakatan dan perpaduan semua pihak merentasi kaum, agama dan kementerian membuktikan kejayaan dapat dicapai hasil kerjasama sepasukan.

Selain keamanan dan kestabilan negara, beliau juga mahu Malaysia dikenali dengan kemampuan menguruskan ekonomi, penggunaan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI), pemilihan tenaga baharu, serta perdagangan antarabangsa dan pelaburan.

“Orang tidak akan melayani, tidak menghormati kita kalau kita terus bergeseran. Soal pecah belah, sesama parti atau kaum atau negeri. Politik dan negara mesti aman dan stabil.

“Kita tidak mahu orang datang sekadar lihat tarian ini hebat. Sambutan yang baik, negerinya bersih, tersusun, itu baik, tapi kita nak dia lihat juga cara kita urus ekonomi, cara perpaduan dalam kalangan kita dan sebagainya. 

“Ini melibatkan apa saya kaitkan dengan dasar yang jelas, pimpinan tegas dan bersih, tatakelola harus baik, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan, dan rasuah mesti dibanteras,” kata beliau.

Pada masa sama, kejayaan menunaikan tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEANtahun lepas juga tidak seharusnya menyebabkan semua pihak leka, sebaliknya terus bekerja lebih kuat dan bertanggungjawab untuk negara.

“Kerana yang lebih penting dari pengiktirafan dunia adalah keupayaan kita mengangkat, memperbaiki ekonomi dan membela nasib rakyat kita,” katanya.

Selain itu, Anwar berkata Kepengerusian ASEAN 2025 juga membuktikan kepada dunia bahawa Malaysia bukan sahaja mahu berkawan dengan negara kuasa besar dan kaya seperti China dan Amerika Syarikat tetapi turut mengambil berat akan negara jiran, Timor-Leste.

Oktober lepas, Timor-Leste diterima sebagai anggota ke-11 ASEAN selepas menyerahkan Instrumen Penyertaan kepada Piagam ASEAN dan Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ), pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan