AM > BERITA

Singapura Buka Konsulat Di Sarawak, Sabah Tahun Ini

19/01/2026 08:38 PM

KUCHING, 19 Jan (Bernama) -- Singapura akan membuka konsulat di Sarawak dan Sabah pada tahun ini susulan memperoleh kelulusan kerajaan Malaysia bulan lepas, kata Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon.

Beliau berkata kelulusan itu mendorong lawatannya ke Kuching dan Kota Kinabalu bagi menilai lokasi berpotensi untuk pejabat konsulat, termasuk mengenal pasti tapak yang sesuai sebagai operasi sementara pada peringkat awal.

Bercakap kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Kompleks Satria Pertiwi, di sini hari ini, Menon berkata Singapura akan mendapatkan kelulusan rasmi Kementerian Luar (Wisma Putra) sebaik lokasi sesuai dikenal pasti sebelum menempatkan pegawai untuk mengendalikan misi berkenaan.

“Kami berharap konsulat ini dapat beroperasi menjelang pertengahan tahun ini,” katanya sambil menambah langkah itu bertujuan mengukuhkan hubungan antara Singapura dan Malaysia Timur, khususnya dalam bidang perdagangan, pelaburan dan pelancongan.

Beliau berkata perdagangan antara Singapura dan Sarawak menunjukkan peningkatan yang konsisten, sekali gus menekankan keperluan kehadiran diplomatik tetap bagi memudahkan kerjasama ekonomi yang lebih rapat.

Menon turut menyatakan peningkatan minat pelancongan dalam kalangan rakyat Singapura, khususnya ke destinasi seperti Gua Mulu, sebagai antara faktor penubuhan konsulat berkenaan.

“Mereka mengetahui potensi Gua Mulu, namun Sarawak mempunyai banyak lagi tarikan. Dengan kehadiran konsul di lapangan, kami yakin dapat menarik lebih ramai pelawat dan mempromosikan hubungan pelancongan antara kedua-dua tempat,” katanya.

Pada 4 Dis lepas, Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong mengalu-alukan kelulusan rasmi Malaysia terhadap cadangan membuka Singapura di Sabah dan Sarawak, sambil menyifatkannya sebagai langkah penting dalam memperkukuh hubungan antara rakyat kedua-dua negara.

Beliau berkata konsulat berkenaan akan membolehkan Singapura menyediakan perkhidmatan konsular kepada warganya selain memperdalam hubungan dua hala yang sedia erat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan