ARAU, 20 Jan (Bernama) -- Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan menerima menghadap Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia Danielle Heinecke di Istana Arau di sini, malam tadi.
Turut berangkat Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Hadir sama Menteri Besar Perlis Abu Bakar Hamzah dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Rahimi Ismail.
Selepas selesai sesi sembah menghadap di Bilik Biru istana berkenaan, Heinecke menyertai majlis santapan malam bersama Tuanku Syed Sirajuddin, Tuanku Syed Faizuddin Putra serta Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen.
Terdahulu, pada sebelah petang semalam, Heinecke turut menyertai Kayuhan MAIPs Peduli yang diketuai Raja Muda Perlis di sekitar Kampung Warna Warni, Kuala Perlis.
Sementara itu, ketika ditemui pemberita sebelum sesi menghadap, Heinecke berkata lawatan itu merupakan kunjungan pertamanya ke Perlis dan memberi peluang kepadanya untuk memahami potensi pelaburan negeri berkenaan, terutamanya pembangunan sektor perindustrian dan usaha menarik lebih banyak pelaburan.
Beliau menzahirkan minat terhadap perancangan pelaburan Perlis, khususnya dalam sektor perindustrian serta Pelabuhan Darat Perlis (Perlis Inland Port, PIP), yang boleh dijadikan rujukan kepada syarikat Australia yang berminat meneroka peluang pelaburan di negeri ini.
“Kami berharap dapat menarik syarikat Australia untuk datang meninjau peluang pelaburan di Perlis. Adalah positif melihat usaha kerajaan negeri dalam menarik pelaburan, dan kami akan cuba berkongsi lebih banyak maklumat dengan syarikat yang berminat,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial