AM > BERITA

Ketengah Lulus Bajet RP1 RMK13 Berjumlah RM48.355 Juta Tahun Ini

20/01/2026 08:27 PM

DUNGUN, 20 Jan (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) meluluskan bajet Rolling Plan Pertama (RP1) di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) berjumlah RM48.355 juta, melibatkan pelaksanaan 28 projek pada tahun ini.

Pengerusi Ketengah Datuk Rozi Mamat, berkata peruntukan itu merangkumi 22 projek sambungan bernilai RM42.855 juta dan enam projek baharu berjumlah RM5.5 juta.

“Bagi tahun 2026, Ketengah akan terus komited memperkukuh agenda pembangunan wilayah secara mampan melalui perancangan dan pelaksanaan program pembangunan yang lebih strategik serta berimpak tinggi selaras dengan Pelan Perancangan Strategik Ketengah 2025–2035,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan dan Amanat Tahun Baharu 2026 di Bandar Al-Muktafi Billah Shah dekat sini hari ini.

Tambah beliau, antara projek yang diluluskan termasuk kajian pengukuhan cerun dan kawalan hakisan; pemasangan pencahayaan pintar dan jimat tenaga; pembangunan Ketengah Agrotech Valley; program pembangunan usahawan, pendigitalan sistem aplikasi bagi eksplorasi pelancongan serta kerja menaik taraf dan membaik pulih premis perniagaan.

“Saya mahu semua projek yang dirancang disegerakan pelaksanaannya supaya kumpulan sasar di wilayah Ketengah dapat menikmati manfaat serta hasilnya dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya.

Mengulas prestasi pada tahun lalu, Rozi berkata perbelanjaan peruntukan pembangunan mencatatkan RM36.436 juta atau 95.09 peratus daripada keseluruhan peruntukan RM38.319 juta.

Beliau berkata prestasi perbelanjaan peruntukan mengurus pula berjumlah RM39.029 juta bersamaan 99.47 peratus daripada keseluruhan peruntukan RM39.237 juta.

“Pencapaian itu mencerminkan tahap kecekapan pengurusan kewangan yang baik serta komitmen tinggi seluruh warga kerja dalam memastikan setiap peruntukan dimanfaatkan secara optimum,” katanya.

Selain itu, beliau berkata sebanyak 13 anak syarikat Ketengah turut mencatat keuntungan yang memberangsangkan walaupun berdepan pelbagai cabaran dalam landskap ekonomi dan sosial yang semakin kompleks pada tahun lalu.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan