AM > BERITA

Berita-Berita Ringkas Dewan Rakyat: 20 Jan

20/01/2026 04:47 PM

CRADLE FUND PACU LEBIH 82,000 PEKERJAAN BAHARU, SUMBANG RM1.02 BILION KEPADA KDNK

KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) -- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Cradle Fund Sdn Bhd telah membiayai lebih 1,300 syarikat pemula dengan kelulusan pembiayaan melebihi RM280 juta, menghasilkan lebih 82,000 pekerjaan baharu dan menyumbang RM1.02 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata inisiatif yang dilaksanakan sejak 2023 itu membolehkan syarikat terlibat memperoleh pembiayaan lanjutan berjumlah RM1.6 bilion, sekali gus memperkukuh ekonomi tempatan dan membangunkan bakat berkemahiran tinggi selari dengan aspirasi Malaysia menjadi hab inovasi serantau menjelang 2030.

“Selain itu, Cradle Fund turut melaksanakan 38 pelaburan ekuiti dalam beberapa syarikat pemula dengan nilai RM40.7 juta dan kemudiannya menerima RM448 juta pembiayaan lanjutan, mewujudkan lebih kurang 1,000 pekerjaan baharu serta menyumbang RM2.48 bilion kepada KDNK,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Chang menjawab soalan Rodiyah Sapiee (GPS-Batang Sadong) berhubung kejayaan program pembangunan dan penskalaan syarikat pemula serta impaknya terhadap ekonomi negara, penciptaan pekerjaan berkemahiran tinggi dan pengukuhan Malaysia sebagai hab inovasi serantau menjelang 2030.

Beliau berkata sehingga 31 Dis tahun lepas, sebanyak 5,013 syarikat pemula dari seluruh negara telah berdaftar di platform tertingkat tunggal MyStartup dengan nilai syarikat terkumpul melebihi RM200 bilion dan jumlah pembiayaan diterima hampir RM40 bilion. 

-- BERNAMA

 

PENDEKATAN PUPUK NILAI PATRIOSME GEN Z PERLU IKUT GAYA HIDUP

KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) -- Usaha memupuk nilai cintakan negara dan kesedaran kenegaraan dalam kalangan generasi muda khususnya Generasi Z dilaksanakan mengikut kaedah yang seiring gaya hidup golongan itu yang berkait rapat dengan penggunaan teknologi, kata Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang.

Beliau berkata Generasi Z, iaitu kelompok yang lahir antara 1997 hingga 2012 dan membesar dalam era teknologi digital masih memiliki semangat patriotisme yang relevan namun bentuk penghayatannya berbeza selari perubahan zaman dan corak pemikiran generasi muda masa kini.

“Pelbagai inisiatif rentas kementerian dilaksanakan termasuk Modul Pendidikan Rukun Negara di Taska dan Tadika Perpaduan, penubuhan 6,849 Kelab Rukun Negara di sekolah serta 193 Sekretariat Rukun Negara di institusi pengajian tinggi bagi menyemai patriotisme dalam kalangan pelajar dan mahasiswa 

“Program Perpaduan khusus belia turut digerakkan tahun ini antaranya Arkib@Sekolah, Gerak Integrasi Perpaduan, Bermalam di Muzium, Debat Perpaduan, Jelajah Belia Rukun Negara serta Misi Sukarelawan Siswa bagi menggalakkan penglibatan aktif Generasi Z dalam aktiviti kenegaraan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) berhubung strategi memupuk patriotisme dalam kalangan Generasi Z bagi mengelakkan semangat itu luntur akibat arus pemodenan.

-- BERNAMA 

 

KPKM SALUR RM20 JUTA PACU 4IR PERTANIAN, FOKUS AGROROBOTIK, IoT

KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyediakan RM20 juta tahun ini bagi mempercepat pelaksanaan teknologi Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) dalam sektor agromakanan termasuk pertanian pintar, agrorobotik dan Internet Benda (IoT), sebagai langkah transformatif memperkukuh tahap keterjaminan makanan negara.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Chan Foong Hin berkata peruntukan itu merupakan fasa permulaan suntikan elemen 4IR kepada jabatan serta agensi kementerian di bawah Program Modenisasi Pembangunan Teknologi, Mekanisasi dan Automasi (TMA) menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dengan peruntukan keseluruhan RM50 juta.

Selain itu, beliau berkata kementerian melaksanakan Program Agropreneur Muda termasuk bantuan Geran Agropreneur Muda (GAM) dengan sebanyak 3,914 usahawan menerima geran bernilai RM86.16 juta sepanjang 2021 hingga 2025 bagi membina bakat dan penyertaan generasi baharu dalam sektor agromakanan.

“KPKM akan melaksanakan Program Agropreneur NextGen (PAN) di bawah RMK13 menerusi Geran Agropreneur NextGen (GAN) dengan peruntukan keseluruhan RM100 juta,” katanya menjawab soalan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) mengenai insentif atau sokongan teknologi kepada petani kecil dan usahawan tani muda pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam aspek pemasaran, beliau berkata Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memperluas pemasaran digital menerusi platform Agrobazaar Online (ABO) dengan 15,982 usahawan berdaftar setakat Disember 2025 serta nilai transaksi RM18.5 juta, termasuk integrasi bersama platform e-dagang seperti TikTok Shop dan Shopee.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan