AM > BERITA

Jadikan Integriti, Profesionalisme Teras Dalam Perkhidmatan Polis

20/01/2026 05:38 PM

BANDAR BAHARU, 20 Jan (Bernama) -- Integriti dan profesionalisme perlu terus dijadikan teras dalam perkhidmatan setiap warga Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Datuk Hamzah Ahmad berkata segala peraturan dan arahan yang dibuat demi menjaga kepentingan semua pihak khususnya masyarakat.

"Dalam konteks integriti dan pematuhan standard, saya menyeru kepada warga PDRM agar segala slogan, arahan, peraturan yang telah dikeluarkan oleh pucuk pimpinan dapat dipatuhi sebaiknya.

"Begitu juga kehendak dan keperluan masyarakat setempat khususnya dalam isu keselamatan...ia perlu dipenuhi dengan sebaik mungkin," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bandar Baharu di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Kedah Datuk Adzli Abu Shah dan Timbalannya DCP Baderulhisham Baharudin.

Sementara itu, dalam ucapannya, beliau berkata penubuhan IPD Bandar Baharu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh keupayaan pasukan keselamatan sejajar dengan pertumbuhan penduduk dan pembangunan sosial ekonomi negara.

Hamzah berkata penyediaan fasiliti yang lengkap dan moden membolehkan perkhidmatan dilaksanakan dengan lebih cekap, responsif dan berfokus sesuai dengan keperluan masyarakat setempat.

"Walaupun berdepan cabaran serta keluasan kawasan liputan, kerjasama erat antara polis dan masyarakat kekal menjadi asas penting dalam memelihara keharmonian.

"Semua aspek akan dilihat, termasuk usaha berterusan membanteras pelbagai bentuk jenayah seperti kekerasan, harta benda, komersial serta penyalahgunaan dadah," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan