AM > BERITA

Kebajikan, Keselamatan Di Perkampungan KEDA Terus Dipertingkat

20/01/2026 10:02 PM

POKOK SENA, 20 Jan (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) meneruskan usaha memperkasa kebajikan, keselamatan dan sosial penduduk di perkampungan KEDA terutama dalam aspek perumahan, pendidikan, kebersihan serta pembangunan keusahawanan.

Pengerusinya Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata untuk itu, siri Jelajah Perkampungan KEDA yang bermula sejak tahun lepas akan diteruskan bagi mendapatkan data terperinci keadaan komuniti dan keberkesanan peranan Jawatankuasa 4P (Pasukan Perancang dan Pelaksana Program ) di setiap perkampungan tersebut.

Beliau berkata ketika ini terdapat 56 perkampungan KEDA dengan kira-kira 5,700 rumah sebagai inisiatif KEDA mewujudkan penempatan yang lebih terancang, tersusun dan lengkap dengan kemudahan asas.

“Setiap perkampungan mempunyai Jawatankuasa 4P yang bertanggungjawab terhadap kesejahteraan, kebajikan dan keselamatan sosial penduduk. KEDA juga menilai aspek perumahan, pendidikan anak-anak, serta tahap kebersihan kawasan agar dapat terus dipertingkatkan.

“Setakat ini saya berpuas hati dengan peranan mereka yang menguruskan hal ehwal komuniti di perkampungan tersebut dengan baik,” katanya kepada pemberita pada program jelajah berkenaan di Desa KEDA Bendang Perang di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mahdzir berkata KEDA merancang memperkenalkan pengiktirafan khas kepada perkampungan yang berjaya mengekalkan tahap kebersihan serta pengurusan komuniti terbaik sebagai galakan kepada penduduk menjelang hujung tahun ini.

Beliau berkata proses penyerahan geran tanah kepada penduduk turut diberi tumpuan, dengan kira-kira 85 peratus pemilik rumah sudah menerima geran masing-masing dan bakinya sedang dalam proses.

“Kita masih ada 15 peratus dan baki itu sedang diusahakan kerana melibatkan urusan pecah lot, penamaan dan kelulusan di peringkat pejabat tanah daerah serta negeri,” katanya.

Mahdzir berkata KEDA juga menyediakan bantuan keusahawanan termasuk peralatan kepada usahawan yang menunjukkan peningkatan prestasi, khususnya dalam sektor makanan dan industri kecil.

“Selain itu, kita perkenalkan sistem pengumpulan sampah berpusat dengan bayaran minimum yang dipersetujui penduduk supaya lori sampah dapat datang kutip sampah yang beroperasi mengikut jadual,” katanya.

Beliau berkata setakat ini,  20 perkampungan KEDA sudah melaksanakan sistem pengurusan sampah berkenaan, manakala selebihnya sedang dirancang secara berperingkat bergantung kepada peruntukan dan keperluan infrastruktur.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan