AM > BERITA

KPKT Perluas Teknologi Tempatan Tukar Sisa Makanan Kepada Baja Pertanian

21/01/2026 06:03 PM

PUTRAJAYA, 21 Jan (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memperluas penggunaan teknologi tempatan bagi menukarkan sisa makanan kepada baja pertanian bagi memperkukuh ekonomi kitaran serta menyokong agenda keterjaminan makanan nasional.

KPKT dalam kenyataan memaklumkan langkah itu dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Ekonomi Kitaran Bagi Sisa Pepejal (NCEC) Keempat yang dipengerusikan menterinya Nga Kor Ming, hari ini.

Menurut KPKT, pelaksanaan teknologi itu yang akan dipelopori Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia adalah perlu kerana negara ketika ini berdepan cabaran pembaziran makanan yang serius, dengan anggaran lebih 8.3 juta tan sisa makanan dibuang setiap tahun, atau bersamaan kira-kira 17,000 tan sehari.

"Kebergantungan kepada tapak pelupusan bukan sahaja membebankan sistem pengurusan sisa negara, malah memberi kesan langsung kepada alam sekitar dan kesejahteraan rakyat," menurut kenyataan itu.

KPKT menggariskan bahawa langkah itu juga dilihat sebagai penyelesaian strategik yang mampu meningkatkan kadar kitar semula negara, menyokong sektor pertanian melalui penyediaan baja alternatif lebih ekonomi serta memacu pembangunan ekonomi kitaran berasaskan teknologi tempatan.

"Inisiatif ini mencerminkan komitmen KPKT dalam membina ekosistem pengurusan sisa yang bukan sekadar bersifat pelupusan tetapi berorientasikan pemulihan nilai, penjanaan sumber baharu dan kelestarian jangka panjang negara," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan