AM > BERITA

Kemasukan Awal Tahun Satu Fokus Kesejahteraan Murid, Bukan Perlumbaan Akademik - Fadhlina

22/01/2026 12:31 PM

KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Kemasukan awal kanak-kanak berusia enam tahun ke tahun satu bermula sesi persekolahan 2027 bukan bertujuan mewujudkan perlumbaan akademik sebaliknya berasaskan kebajikan, kesejahteraan dan tahap kesiapsiagaan kanak-kanak.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata tumpuan utama pelaksanaan itu ialah memastikan hak dan kepentingan kanak-kanak dilindungi dengan penilaian dibuat secara menyeluruh merangkumi aspek emosi, kognitif serta kemahiran pembelajaran dan bukan semata-mata faktor usia.

“Ini bukan soal berlumba-lumba dan tujuan kita ialah untuk menekankan asas mengikut tahap perkembangan murid dan bukan mempercepat pembelajaran akademik.

“Anak kita bukan untuk ujian atau tikus makmal, sebab itu kita tekankan bahawa dalam konteks ini kita hendak bagi tumpuan kerana ia merupakan dasar yang telah kita bincang dan bahaskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13),” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Fadhlina menjawab soalan tambahan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) yang membangkitkan kebimbangan awam termasuk polemik di media sosial berhubung rasional pelaksanaan dasar itu, tahap sesi libat urus dengan pihak berkepentingan serta kemungkinan tekanan sosial terhadap ibu bapa.

Beliau berkata kebimbangan masyarakat adalah munasabah dan Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil tanggungjawab penuh untuk memberi penerangan dan memastikan pelaksanaan dasar itu dilakukan dalam keadaan terbaik.

Mengulas dakwaan dasar itu sepatutnya dilaksanakan secara rintis, Fadhlina menegaskan pendekatan tersebut bukan projek percubaan, sebaliknya dasar nasional yang dilaksanakan secara berfasa, terkawal dan sukarela dengan mekanisme saringan diagnostik yang ketat.

Beliau berkata hanya kanak-kanak yang benar-benar bersedia akan ditawarkan kemasukan awal selain disertai dengan sokongan emosi dan psikososial bagi membantu mereka menyesuaikan diri dalam persekitaran pembelajaran formal.

Menjawab soalan asal Roslan mengenai rasional dasar itu, Fadhlina berkata penawaran kemasukan awal murid tahun satu sebahagian daripada perancangan RMK13, selaras dengan amalan antarabangsa yang memulakan pendidikan rendah pada usia enam tahun.

“Namun, penegasan penting di sini ialah kemasukan pada usia tujuh tahun kekal sebagai laluan persekolahan dan tiada sebarang paksaan kepada ibu bapa atau murid,” katanya.

Beliau berkata struktur pendidikan negara juga tidak berubah kerana semua murid tetap melalui enam tahun pendidikan rendah dan lima tahun pendidikan menengah, tanpa penambahan tempoh persekolahan atau kesan negatif kepada laluan pendidikan keseluruhan.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) berhubung kesiapsiagaan sekolah, guru dan prasarana, khususnya di kawasan bandar, Fadhlina berkata setiap dasar mesti disokong dengan persiapan menyeluruh.

Beliau berkata KPM telah melaksanakan pemetaan awal bagi mengenal pasti negeri dan sekolah yang dijangka menerima permintaan tinggi, selain mengambil langkah proaktif termasuk pengambilan guru lantikan secara kontrak atau Contract of Service (CoS) dan perancangan pembinaan kelas tambahan.

“Bahagian pembangunan kita juga bersedia untuk melaksanakan semua projek yang terkait rapat dengan pembinaan kelas tambahan ini,” katanya.

Sehubungan itu, Fadhlina mengalu-alukan Ahli Parlimen untuk menyalurkan sebarang persoalan rakyat di kawasan mereka bagi memastikan kebimbangan masyarakat dapat ditangani dan pelaksanaan dasar berlangsung dengan baik.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan