AM > BERITA

Kerjasama BN-GRS Perlu Perkukuh, Jamin Kestabilan Politik Sabah – TPM Ahmad Zahid

22/01/2026 02:18 PM

KINABATANGAN, 22 Jan (Bernama) -- Kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu terus diperkukuhkan bagi memastikan Sabah menikmati kestabilan politik, seterusnya memacu pembangunan negeri secara menyeluruh.

Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata perbezaan pandangan politik yang berlaku sebelum ini perlu diketepikan demi kesejahteraan penduduk Sabah.

“Cukuplah kita berpolitik. Yang lebih penting hari ini ialah kestabilan demi pembangunan dan kebajikan penduduk Sabah.

“Parti politik hanyalah alat, ia juga jambatan yang menghubungkan penduduk dengan kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan, dan harus diperkukuh demi kepentingan rakyat,” katanya ketika berucap pada Program Sentuhan Kasih Desa@Kuamut di Dataran Tongod, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengerusi BN Sabah yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut Datuk Masiung Banah serta calon BN Parlimen Kinabatangan Mohd Kurniawan Naim Moktar.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri berkata kestabilan politik merupakan prasyarat utama kepada pembangunan negeri yang mampan.

"Jika tiada kestabilan politik, kita akan terus berkonflik bukan sahaja setiap lima tahun, malah hampir setiap tahun. Bertegang leher berpanjangan tidak membawa manfaat dan perkara itu, insya-Allah, tidak akan berulang lagi di Sabah,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata legasi khidmat Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin di Parlimen Kinabatangan wajar diteruskan oleh anaknya, Mohd Kurniawan Naim, yang diyakini mampu melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat dengan baik sekiranya diberi mandat oleh pengundi.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan menyaksikan saingan tiga penjuru antara Mohd Kurniawan Naim, Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas), manakala bagi Dewan Undangan Negeri (DUN)  Lamag, pertandingan satu lawan satu antara Mohd Ismail Ayob (BN) dan Mazliwati (Warisan).

Ia diadakan susulan kematian penyandangnya Bung Moktar, 66, pada 5 Dis tahun lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan Sabtu ini sebagai hari pengundian bagi kedua-dua berkenaan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan