AM > BERITA

MATTA Lancar TRUST, Tangani Penipuan Dan Tingkat Keyakinan Terhadap Industri Pelancongan

22/01/2026 05:54 PM

KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) melancarkan inisiatif baharu TRUST yang bertujuan menangani operator haram dan meningkatkan keyakinan awam terhadap industri pelancongan tempatan. 

Presidennya Nigel Wong berkata inisiatif itu mencerminkan komitmen persatuan untuk memupuk kepercayaan dan profesionalisme dalam sektor pelancongan Malaysia. 

“Pemain industri pelancongan Malaysia sememangnya sangat profesional tetapi disebabkan cabaran masa kini seperti operator haram serta penipuan dalam talian menjadikan hampir mustahil untuk satu pihak sahaja, khususnya kerajaan untuk mengawal selia dan menguatkuasakan undang-undang,” katanya. 

Wong berkata demikian pada sidang media Sidang Kemuncak Keahlian MATTA 2026 di sini hari ini, yang dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing. 

Beliau berkata di bawah inisiatif TRUST, MATTA membangunkan TravelWatch.ai iaitu platform pelaporan berkuasa kecerdasan buatan (AI) yang direka untuk menguruskan aduan dan mengumpul bukti melibatkan operator tidak sah.

Beliau berkata sistem itu pada masa ini berada dalam fasa bukti konsep, mampu menganalisis jumlah data yang besar termasuk video, fail audio, resit dan dokumen dengan lebih pantas berbanding proses secara manual.

Sebagai tambahan, TRUST mendidik orang ramai mengenal pasti operator tidak sah dan mengenali tanda amaran serta penipuan dalam industri.

Wong berkata inisiatif itu menunjukkan komitmen MATTA untuk menyokong industri pelancongan yang selamat, profesional dan mampan dengan kerjasama agensi kerajaan serta pihak berkepentingan industri.

Inisiatif itu juga menyokong pelaporan yang bertanggungjawab, perkongsian maklumat berkesan dan ketelusan yang lebih baik selain melengkapkan usaha penguatkuasaan sedia ada.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan