AM > BERITA

Polisi Kerja Fleksibel, Penambahbaikan SARA Dibangkitkan Di Dewan Rakyat

22/01/2026 08:02 PM

KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Cadangan pelaksanaan polisi kerja fleksibel serta penambahbaikan program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) antara perkara yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen pada sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) berkata dunia moden kini menyaksikan rakyat kurang meluangkan masa bersama keluarga dan berdepan keletihan mental kerana bekerja dalam tempoh yang panjang disebabkan kos sara hidup yang semakin meningkat, sekali gus menjejaskan institusi keluarga yang menjadi asas kepada masyarakat stabil dan makmur.

Justeru, beliau berkata kerajaan wajar mempertimbangkan pelaksanaan polisi kerja fleksibel termasuk menggalakkan kerja dari rumah bagi sektor bersesuaian untuk memperkukuh perlindungan kesihatan mental pekerja serta memupuk budaya majikan yang menghargai keseimbangan antara kehidupan dan kerjaya.

“Negara maju bukan hanya diukur daripada angka Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) tetapi kualiti kehidupan rakyatnya,” katanya pada sesi itu, sambil menekankan bahawa kemajuan negara mesti berjalan seiring dengan kesejahteraan rakyat.

Sementara itu, Wong Shu Qi (PH-Kluang) menyifatkan SARA sebagai bantuan yang mengurangkan beban rakyat namun kerajaan perlu memperketatkan pemantauan pelaksanaan program yang menyasarkan pendaftaran 10,000 kedai runcit luar bandar sebagai kedai SARA yang telah diumumkan awal tahun ini.

“Ini membuktikan bahawa Kerajaan MADANI mendengar pandangan rakyat dan bersedia menambah baik dasar secara terbuka namun saya ingin meminta Kementerian Kewangan memantau pelaksanaan oleh My Kasih Foundation dengan lebih rapi.

“Pagi tadi baru sahaja saya terima aduan daripada peniaga di kawasan saya bahawa permohonan mereka yang telah dibuat hampir enam bulan lepas masih belum menerima sebarang maklum balas daripada pihak yang sepatutnya memproses permohonan itu,” katanya.

Wong turut mencadangkan kepada kerajaan untuk memberi keutamaan kepada produk tempatan supaya bantuan SARA bukan sahaja meringankan beban kos sara hidup, malah menyokong peniaga dan pengeluar tempatan melalui amalan beli barangan tempatan menggunakan dana SARA.

Membangkitkan isu pelaksanaan pendidikan awal kanak-kanak berusia enam tahun ke tahun satu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) menyifatkan usaha itu perlu dimulakan dengan memastikan pendidikan prasekolah disediakan secara percuma dan berkualiti serta mempunyai akses yang adil dan saksama kepada semua murid.

Beliau berkata Malaysia perlu mencontohi pendekatan negara maju yang menyediakan pendidikan prasekolah percuma, mudah diakses dan berkualiti tanpa sistem penapisan awal sekiranya mahu melaksanakan pendidikan awal itu.

“Negara maju lain dah buat sekolah percuma, mudah diakses dan berkualiti. Negara lain tak ada sistem pilihan atau two-tiered entry system, tak ada ujian diagnostik atau tidak lihat kawasan bandar atau luar bandar yang mungkin nisbah cikgu dan pelajar lain.

“Kita nak adaptasi yang baik kita ambil yang baik, jangan kita nak ikut negara luar tapi kita bawa elemen yang kurang baik dan benda baik kita lupakan,” katanya.

Persidangan bersambung Isnin.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan