AM > BERITA

PAC Penting Dalam Sistem Demokrasi, Mekanisme Semak Dan Imbang - Johari

23/01/2026 01:21 PM

KUALA LUMPUR, 23 Jan (Bernama) -- Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen memainkan peranan penting dalam sistem demokrasi, berfungsi sebagai mekanisme semak dan imbang yang bebas terhadap agensi serta cabang eksekutif, terutamanya apabila berlaku kegagalan pelaksanaan atau kelemahan sistem.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul berkata walaupun PAC tidak mempunyai kuasa menghukum, peranan jawatankuasa itu amat signifikan dalam mendedahkan fakta dan menuntut pertanggungjawaban daripada agensi terlibat, yang akhirnya dinilai oleh rakyat.

Selain itu, beliau berkata PAC berfungsi secara bebas dan tidak tertakluk kepada kawalan mana-mana pihak dalam memastikan akauntabiliti pentadbiran serta pengurusan kewangan negara.

“Tiada siapa boleh kawal PAC. Kalau kita merasakan tindakan polis atau agensi selepas kita buat laporan itu lambat, harus diingat hakim yang sebenarnya ialah rakyat,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan PAC Parlimen bersama Jawatankuasa Kira-Kira Kerajaan Negeri Se-Malaysia, di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi PAC Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan Ketua Pentadbir Parlimen Malaysia Datuk Dr Ahmad Husaini Abdul Rahman.

Johari berkata kerjasama dan kefahaman bersama antara PAC Parlimen dan PAC negeri adalah penting bagi memastikan sistem yang dibina dapat berfungsi dengan berkesan, selari dengan prinsip pengasingan kuasa antara eksekutif, legislatif dan institusi berkaitan.

Dalam sidang media kemudian, Johari berkata persidangan julung kali diadakan itu bertujuan menghimpunkan idea serta pengalaman bagi menghasilkan resolusi yang dapat memperkukuh peranan PAC pada semua peringkat.

Beliau berharap persidangan yang melibatkan PAC Parlimen dan PAC peringkat negeri itu dapat memperkukuh peranan institusi itu dalam memantau pengurusan kewangan awam serta meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem tadbir urus pada peringkat Persekutuan dan negeri.

“Saya berterima kasih kepada Pengerusi PAC yang mencadangkan idea untuk mengadakan persidangan itu. Saya berkeyakinan tinggi, persidangan ini akan membuahkan resolusi yang baik supaya kalau boleh semua PAC negeri mengikut jejak langkah PAC Parlimen," katanya.

Johari juga menggesa supaya sebarang resolusi yang terhasil daripada persidangan itu dihayati dan dibawa ke Parlimen untuk diterjemahkan dalam bentuk tindakan yang memberi manfaat menyeluruh termasuk pada peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).

Persidangan dihadiri 11 pengerusi PAC negeri serta 11 setiausaha.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan