AM > BERITA

Kerajaan Beri Laluan Penuh Pihak Berkuasa Banteras Rasuah, Kegiatan Haram E-waste

23/01/2026 03:59 PM

BANGI, 23 Jan (Bernama) -- Kerajaan MADANI memberi laluan penuh kepada pihak berkuasa untuk membanteras aktiviti rasuah dan salah guna kuasa termasuk kegiatan pengimportan sisa elektronik (e-waste) secara haram di negara ini. 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Jemaah Menteri hari ini secara tegas melarang perbuatan menjadikan Malaysia sebagai tempat pembuangan e-waste.

“Isu pengalaman kita tentang kontrak dan tender, walaupun begitu kuat kita beri tekanan dan gesaan tetapi kita nampak masih ada kelemahan dan keterlanjuran.

"Ketetapan kita dan Jemaah Menteri ialah melarang sama sekali Malaysia menjadi tempat pembuangan e-waste. Jadi sebab itu, hal-hal ini harus dipantau dan saya beri laluan penuh (kepada pihak berkuasa),” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Al Amin, Seksyen 8, Bandar Baru Bangi di sini hari ini.

Dua hari lepas, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyatakan akan memperhebatkan siasatan berhubung kegiatan pengimportan e-waste secara haram, susulan risikan yang mendedahkan antara 2,000 hingga 3,000 kontena e-waste diseludup masuk ke negara ini melalui pelabuhan utama.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki juga dilaporkan berkata beberapa kementerian telah dikenal pasti dalam radar pemantauan SPRM berhubung isu perolehan termasuk Kementerian Pertahanan.

Sementara itu, Anwar berkata beberapa pihak antaranya SPRM, Jabatan Audit Negara, Bank Negara dan Lembaga Hasil Dalam Negeri juga memberikan laporan penuh siasatan mengenai isu rasuah, salah guna kuasa atau hal berkaitan kepadanya hari ini. 

“Tugas mereka (pihak berkuasa adalah) membersihkan saki-baki karenah rasuah dan penyalahgunaan kuasa,” katanya.

Anwar sebelum ini berkata semua keputusan perolehan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terkait isu rasuah dibekukan sementara sehingga proses perolehan dipatuhi sepenuhnya.

Beliau berkata kerajaan melalui kementerian terlibat akan meneliti dan menyusun semula kesemua perolehan bagi memastikan ketelusan sistem sedia ada.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan