AM > BERITA

Kumpulan Suria KLCC Raikan Tahun Kuda Dengan Perayaan Warisan Dan Kemakmuran

23/01/2026 06:03 PM

KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) -- Suria KLCC mengundang rakyat Malaysia untuk bersama-sama menyambut Tahun Kuda dari 16 Jan hingga 18 Feb menerusi perayaan yang menggabungkan tradisi, budaya dan pengalaman perayaan yang penuh bermakna.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Suria KLCC Sdn Bhd Francis Tan berkata pengunjung akan dapat merasai suasana perayaan yang benar-benar holistik, dengan suasana santai di Taman KLCC serta di sekitar Presint KLCC yang menempatkan pelbagai gabungan gaya hidup, santapan, serta tarikan seni dan budaya.

Beliau berkata Centre Court Suria KLCC telah ditransformasikan menjadi sebuah pameran perayaan yang imersif dengan “Karusel Kuda Oriental” sebagai tarikan utama, yang melambangkan Tahun Kuda dan ia berlatarbelakangkan pemandangan gunung-ganang dan pokok bunga sakura yang memukau.

“Pengunjung boleh meneroka elemen interaktif seperti Lotus Pond of Blessings yang mengajak pengunjung menyampaikan hajat demi kemakmuran dan tuah, selain sebuah pavilion tradisional Cina lengkap dengan jambatan, yang melengkapkan suasana serta menjadi latar belakang yang indah untuk momen fotografi perayaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Tan berkata sebagai destinasi ikonik di kota raya Kuala Lumpur, Suria KLCC bukan sekadar sebuah pusat beli belah ia merupakan tempat terciptanya kenangan dan perkongsian pengalaman. 

“Sempena Tahun Baharu Cina ini, kami berbesar hati untuk membawakan satu perjalanan imersif yang meraikan tenaga dan semangat Tahun Kuda, sambil menyatukan masyarakat melalui warisan dan kegembiraan bersama.

“Kami juga berbangga untuk meneruskan komitmen kami terhadap kesejahteraan komuniti menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat, yang membolehkan pembeli menyumbang kepada kesedaran kesihatan mental, sambil menghayati semangat perayaan,” katanya.

Selain dekorasi perayaan, Suria KLCC turut menawarkan program ganjaran termasuk e-baucar beli-belah RM100 Suria KLCC serta set angpau kepada pembeli yang berbelanja sebanyak RM2,500 dan ke atas dalam dua resit, manakala bonus e-baucar bagi pembelian RM1,000 melalui laman web akan menerima tambahan RM100 e-baucar.

Pelbagai aktiviti sampingan juga akan memeriahkan suasana perayaan seperti persembahan Tarian Singa Akrobatik, Bengkel Sugar Art, Bengkel Cap Kaligrafi serta kemudahan photobooth untuk pengunjung.

Selain itu, Alamanda Shopping Centre di Putrajaya turut menghidupkan suasana perayaan bermula 23 Jan hingga 18 Feb, dengan Centre Court dihiasi konsep taman Oriental lengkap dengan “Karusel Kuda Oriental”, pavilion Cina, tanglung merah dan dihiasi dengan bunga sakura yang mewujudkan suasana mesra keluarga.

Antara pengisian utama di Alamanda, pengunjung bakal dihiburkan dengan persembahan tarian singa dan tarian tradisional Cina, aktiviti kanak-kanak ViKids serta ganjaran e-baucar untuk pembeli, selain digalakkan menyokong inisiatif kesihatan mental melalui pembelian Green Ribbon Pin.

Sementara itu, kawasan Pantai Timur turut dihangatkan dengan kemeriahan sambutan Tahun Baru Cina di Mesra Mall Kemasik, Terengganu bermula 29 Jan hingga 18 Feb dengan konsep perayaan yang menekankan elemen kekeluargaan dan tradisi. 

Sambutan itu juga dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti seperti persembahan tarian singa tradisional dan tinjauan mesra, aktiviti bengkel kraf untuk seisi keluarga serta ganjaran istimewa kepada pembeli terawal.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan semasa, orang ramai boleh melayari Suria KLCC  di www.suriaklcc.com.my atau www.facebook.com/SuriaKLCCMall, Alamanda di www.alamanda.com.my atau www.facebook.com/AlamandaShoppingCentre dan Mesra Mall di www.mesramall.com atau  www.facebook.com/MyMesraMall.

-- BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan