AM > BERITA

HPPSC Diperkukuh, Tambah Baik Pengurusan Tuntutan Perubatan Swasta

23/01/2026 07:12 PM

KUALA LUMPUR, 23 Jan (Bernama) -- Jawatankuasa Protokol dan Penyelesaian Rakan Penjagaan Kesihatan (HPPSC) diperkukuh sebagai platform kerjasama industri bagi meningkatkan pengurusan tuntutan perubatan, menangani isu sistemik serta menambah baik komunikasi antara penanggung insurans, pengendali takaful dan rakan penjagaan kesihatan. 

HPPSC terdiri daripada wakil penyedia dan pembayar termasuk Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), pengendali insurans dan takaful (ITO) serta pentadbir pihak ketiga (TPA) dengan pemerhati daripada Kementerian Kesihatan (KKM) dan Bank Negara Malaysia (BNM). 

Jawatankuasa itu dipengerusikan bersama oleh wakil daripada MMA dan Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) serta disokong Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) dan Persatuan Takaful Malaysia (MTA), seterusnya mencerminkan komitmen bersama terhadap penyelesaian masalah secara kolaboratif.

HPPSC yang sebelum ini dikenali sebagai Jawatankuasa Mekanisme Aduan (GMC) menangani isu lazim berkaitan tuntutan perubatan dan proses surat jaminan dengan menyediakan platform berstruktur untuk penglibatan secara konstruktif.

Ini membolehkan pihak berkepentingan mengenal pasti punca masalah, membangunkan penyelesaian yang praktikal serta menggalakkan ketelusan yang lebih tinggi merentasi ekosistem pembiayaan insurans/takaful penjagaan kesihatan swasta.

"Penjenamaan semula Jawatankuasa ini kepada HPPSC mencerminkan peranan yang diperluas dan lebih proaktif dalam mengenal pasti isu, membangunkan penyelesaian serta memacu pelaksanaan melalui protokol kerjasama dan amalan terbaik," menurut kenyataan bersama MMA, APHM, LIAM, MTA dan PIAM.

Kenyataan itu juga memaklumkan sejajar dengan tumpuan berteraskan pesakit, HPPSC turut melantik wakil advokasi pesakit Manvir Victor bagi memastikan perspektif pesakit diambil kira dalam perbincangan dan penyelesaian.

Manvir dalam kenyataan sama berkata beliau amat berbesar hati menjadi sebahagian daripada HPPSC, mewakili suara pesakit dan masyarakat umum.

“Peranan ini membawa tanggungjawab untuk memastikan perbincangan mengenai ekosistem penjagaan kesihatan swasta diterjemahkan kepada penambahbaikan yang bermakna dari segi proses, akses dan kesaksamaan agar penjagaan berkualiti kekal adil dan mampan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Bersama HPPSC dari MMA Dr L. Vasu Pillai berkata usaha memperkemas protokol dan pengurusan tuntutan perubatan dijangka mengurangkan beban pentadbiran ke atas profesional penjagaan kesihatan serta memastikan pesakit menerima rawatan tepat pada masanya.

Presiden APHM Datuk Dr Kuljit Singh pula berkata pendekatan kolaboratif melalui HPPSC penting dari perspektif pesakit kerana pengurusan tuntutan yang lebih tersusun dapat mengurangkan tekanan dan mempercepatkan akses rawatan.

“Dari perspektif pesakit, inisiatif seperti pendekatan kolaboratif HPPSC adalah amat penting. Pengurusan tuntutan yang diperkemas bermaksud tekanan yang lebih rendah dan akses rawatan yang lebih pantas, sekali gus membolehkan pesakit menumpukan perhatian kepada pemulihan dan bukannya urusan dokumentasi.

“Kami memuji komitmen semua pihak berkepentingan dalam meletakkan keperluan pesakit sebagai keutamaan dalam proses ini,” katanya.

Mengulas perkembangan setakat ini, Ketua Pegawai Eksekutif LIAM merangkap Pengerusi Bersama HPPSC yang mewakili ITO, Mark O’Dell berkata jawatankuasa itu telah menunjukkan penambahbaikan dalam komunikasi dan kerjasama antara pihak berkepentingan dalam sektor penjagaan kesihatan swasta.

“HPPSC telah pun menghasilkan penambahbaikan dalam komunikasi dan kerjasama antara pihak berkepentingan penjagaan kesihatan swasta. Penglibatan awal ini merupakan langkah penting ke arah menangani cabaran bersama secara konstruktif dan mampan,” katanya.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan