KUALA LUMPUR, 23 Jan (Bernama) -- Bas persiaran yang terlibat dalam kemalangan meragut nyawa 15 pelajar Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (Jeli-Gerik), Perak pada Jun lepas, didapati dikendalikan sebuah syarikat yang tidak memiliki lesen atau permit sah untuk operasi bas persiaran di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).
Laporan Akhir Siasatan Keselamatan Pengangkutan Jalan oleh Pasukan Petugas Khas Kementerian Pengangkutan (MOT) menyatakan semasa kejadian pemilik lesen sah pengendali kenderaan itu didaftarkan atas nama Kenari Utara Travel & Tours Sdn Bhd telah menyewakan atau memajakkan lesen itu kepada Noreen Maju Trading tanpa kebenaran pihak berkuasa.
“Penggunaan permit oleh pihak ketiga tanpa kelulusan merupakan pemajakan lesen kenderaan perdagangan, yang melanggar Seksyen 49 (1) Akta 715 dan menjejaskan akauntabiliti operasi pengangkutan,” menurut laporan itu yang didedahkan kepada umum hari ini.
Susulan dapatan itu, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah membatalkan lesen Kenari Utara Travel & Tours Sdn Bhd pada 13 Jun 2025 kerana kejadian itu mencerminkan kelemahan pematuhan serta memberi kesan negatif terhadap integriti tadbir urus dalam sektor pengangkutan awam pelancongan.
“Maklumat daripada Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasaan Pelancongan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) juga menunjukkan Nuratiqah Travel & Tours Sdn Bhd bertindak sebagai pihak tengah dengan mengemukakan permohonan pengecualian pemandu pelancong untuk perjalanan bas pada 8-9 Jun 2025 bagi pihak pengendali lain.
“Semakan di Sistem Pelesenan dan Penguatkuasaan Pelancongan (TOURLIST) mendapati syarikat ini mengemukakan jumlah permohonan pengecualian yang luar biasa tinggi sepanjang 2025, termasuk 27 pada Januari dan 29 pada Februari,” menurut laporan itu.
MOT berkata corak permohonan tersebut menunjukkan kemungkinan besar penyalahgunaan mekanisme pengecualian, termasuk penyewaan lesen atau manipulasi sistem oleh pengendali tidak berlesen.
Selain itu, butiran pemandu bagi perjalanan bas pada hari kejadian didapati tidak sepadan dengan pemandu sebenar yang terlibat, menandakan kelemahan dalam verifikasi fizikal dan kawalan maklumat.
Siasatan juga mendapati lesen memandu seorang daripada pemandu telah tamat tempoh sejak November 1998 dan tidak diperbaharui, selain kedua-dua pemandu mempunyai beberapa saman jalan raya, termasuk saman yang masih aktif.
Pada 9 Jun lalu, 15 pelajar UPSI terbunuh apabila bas yang mereka naiki dari Jerteh, Terengganu ke Kampus UPSI Tanjung Malim terbabit kemalangan dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza. Daripada jumlah itu, 13 mangsa disahkan maut di tempat kejadian manakala dua lagi meninggal dunia semasa menerima rawatan di hospital.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial