AM > BERITA

RM50 Pemberian Terakhir Arwah Khairil Azhar Kepada Anak Sulung

24/01/2026 12:04 AM

IPOH, 23 Jan (Bernama) -- Wang belanja sebanyak RM50 yang dikirim melalui pindahan dalam talian menjadi pemberian terakhir Allahyarham Inspektor Khairil Azhar Kamaruddin, pegawai kanan Pasukan 69 Komando (VAT 69), yang meninggal dunia ketika menjalani latihan menyelam di Pulau Mataking, Semporna, Sabah kepada anak sulungnya Zharif Iman Khairil Azhar.

Zharif Iman, 19, berkata pada malam sebelum pemergian bapanya dia sempat menghubungi arwah memaklumkan untuk meminta sedikit wang belanja ke sekolah bagi menjalani peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Pelajar Kolej Tingkatan Enam Seri Putra, di sini itu berkata itulah kali terakhir dia mendengar suara bapanya yang ke Sabah bagi menjalani latihan di sana sejak 15 Dis lepas.

“Saya tak sangka pemberian itu adalah yang terakhir daripada ayah. Masa itu saya cuma fikir nak pergi sekolah dan hadiri peperiksaan,” katanya ketika ditemui selepas pengebumian Allahyarham di sini hari ini.

Terdahulu jenazah Khairil Azhar selamat dikebumikan pada 6.10 petang tadi di Tanah Perkuburan Islam Kariah Masjid Jamek Tanjung Rambutan di sini.

Allahyarham yang berusia 45 tahun meninggalkan seorang balu dan tiga anak berusia antara 11 hingga 19 tahun.

Penerbangan yang membawa jenazah Khairil Azhar dari Lapangan Terbang Tawau menggunakan pesawat C130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) tiba di Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU), di sini pada 3.20 petang tadi.

Jenazah kemudian dibawa ke Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta untuk disembahyangkan dengan diimamkan Zharif Iman.

Sementara itu, Zharif Iman berkata dia dimaklumkan mengenai kematian arwah selepas selesai menduduki kertas Pengajian Perniagaan, memandangkan guru dan ahli keluarga mengambil keputusan untuk tidak memaklumkan perkara tersebut lebih awal.

“Mula-mula saya memang tidak kuat, tetapi cikgu dan ahli keluarga beri semangat supaya saya habiskan peperiksaan terlebih dahulu. Alhamdulillah, saya dapat teruskan juga,” katanya yang turut menyuarakan hasrat untuk berkhidmat dalam pasukan TUDM, sebagai kesinambungan semangat khidmat dan pengorbanan arwah bapanya kepada negara.

“Ayah selalu pesan, kalau nak jadi seperti ayah, kena kuat dan berani, jadi saya bulatkan tekad nak jadi seperti ayah walaupun bukan dalam seragam yang sama. 

"Impian saya nak mengemudi helikopter suatu hari nanti dan tunjukkan kepada ayah, namun hasrat itu kelak tak dapat saya tunaikan kerana dia sudah tiada,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan