AM > BERITA

Masyarakat Diharap Terus Hargai Karya, Sumbangan P. Ramlee - Anwar

24/01/2026 10:25 AM

KUALA LUMPUR, 24 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap masyarakat terus menghargai karya dan sumbangan Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dalam industri hiburan negara.

Anwar berkata karya P. Ramlee bukan sahaja hiburan semata-mata, tetapi juga cerminan nilai, budaya dan identiti seni negara.

Beliau berkata P. Ramlee turut mengajar tentang pentingnya kreativiti dan dedikasi dalam berkarya selain memberikan inspirasi kepada semua.

“Malam tadi, saya berkesempatan menonton Konsert Live P. Ramlee 'Madu Tiga' di Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) hasil pimpinan konduktor hebat Ahmad Muriz Che Rose, bersama-sama pasukannya yang begitu berdedikasi dan profesionalisme dalam menyampaikan persembahan muzik yang begitu mengagumkan.

“Semoga generasi masa ini terus menghargai dan memelihara warisan seni ini serta mengenang sumbangan Allahyarham P. Ramlee dalam industri hiburan negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Konsert Live P. Ramlee “Madu Tiga” yang berlangsung dua hari bermula semalam di Dewan Filharmonik Petronas, KLCC menampilkan tayangan filem komedi klasik Madu Tiga diiringi persembahan muzik secara langsung.

Persembahan ini merupakan kali kedua MPO mengiringi tayangan filem tempatan secara langsung selepas tayangan OlaBola pada 2017.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan