AM > BERITA

Melakar Huruf, Merawat Jiwa : Perjalanan Ahmad Baihaqi Dengan Autisme

25/01/2026 09:23 AM

Oleh Noornasrin Salsabila Othman

PASIR MAS, 25 Jan (Bernama) -- Goresan huruf Arab di atas kanvas menjadi ruang ketenangan buat Ahmad Baihaqi Noor Azman, 20, yang menghidap autisme ringan. Melalui seni kaligrafi khat, beliau bukan sahaja menenangkan jiwa, malah membina keyakinan diri untuk menghadapi cabaran harian.

Bagi Ahmad Baihaqi, seni tulisan bukan sekadar ekspresi visual tetapi juga medium terapi yang membolehkannya kekal fokus dan tenang.

Setiap lenggokan huruf mencerminkan kesabaran dan ketelitian, dua elemen yang membentuk kekuatan dirinya.

Anak bongsu daripada lapan beradik ini berkata minat terhadap seni khat bermula sejak usia sembilan tahun di Sekolah Rendah Islam Al Furqan, Pasir Mas.

“Ketika itu hati saya mula tertarik. Lama-kelamaan seni ini sebati dengan diri dan membantu saya memperoleh keputusan cemerlang dalam subjek ini,” katanya kepada Bernama.

Minat itu berterusan ketika menuntut di Sekolah Menengah Ugama Al-Kauthar, Peringat, Kota Bharu, apabila beliau menghasilkan karya sebagai hadiah kenangan kepada guru-guru yang bersara.

Ahmad Baihaqi yang disahkan menghidap autisme tiga tahun lalu berkata hobi seni khat mula mendapat perhatian selepas menerima tempahan pertama daripada bapa saudaranya, Mohd Fudzi Ibrahim, 70, pada Julai 2023.

Menurutnya, tempahan berupa lakaran nama inap desa milik bapa saudaranya itu disertakan bayaran sagu hati sebanyak RM300.

“Bayaran itu memberi suntikan semangat untuk saya serius dalam seni khat. Saya juga menggunakan media sosial seperti Facebook dan YouTube untuk mendalami teknik serta gaya kaligrafi,” katanya.

Beliau turut mendapatkan bimbingan daripada guru khat, Hamdi Che Wahid, pada awal tahun ini bagi memantapkan kemahiran dalam Khat Diwani Jali dan Khat Thulut.

“Khat Diwani Jali terkenal dengan kehalusan dan keindahannya, manakala Thulut pula lebih anggun serta dikenali sebagai ibu kepada segala jenis tulisan khat. Thulut memerlukan ketelitian tinggi kerana lenggokan huruf lebih melengkung dan condong,” katanya.

Menurutnya, Diwani Jali lazimnya digunakan untuk nama individu, manakala Thulut sesuai bagi penulisan nama Allah, ayat al-Quran dan surah.

Proses menghasilkan karya bermula dengan penyediaan latar belakang yang diwarnakan dengan cat akrilik di atas kanvas, diikuti lakaran khat dan pewarnaan akhir. Tempoh menyiapkan karya bergantung kepada kerumitan, antara sehari hingga sebulan, dengan bukhoor dan alunan muzik membantu mengekalkan fokus.

“Saya tidak mengehadkan karya hanya pada kanvas. Saya juga menghasilkan penanda buku dan seni berskala kecil dengan harga bermula serendah RM5 hingga RM3,000,” katanya.

Hasil karya Ahmad Baihaqi pernah disampaikan kepada beberapa kenamaan termasuk Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, kerabat Diraja Kelantan serta artis tempatan Nabila Razali.

Beliau yang mendapat sokongan penuh ibu bapanya, Norizan Ibrahim, 62, dan Noor Azman Abdullah, 61, berkata orang ramai boleh melihat koleksi atau membuat tempahan melalui Facebook ‘Rantau Jaya Craft’ dan Instagram ‘Ahmdbaihaq1’.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan