Oleh Puti Iylia Maisarah Zol Azman
KUALA LUMPUR, 25 Jan (Bernama) -- Kemasukan awal kanak-kanak ke Tahun Satu pada usia enam tahun (5+) secara sukarela bermula sesi 2027 dilihat sebagai pendekatan menyeluruh berasaskan perkembangan dan potensi sebenar murid, sejajar dengan kecenderungan mereka yang kini matang lebih awal dan terdedah kepada teknologi.
Menyifatkan dasar itu sebagai pendekatan berfokus kepada potensi individu berdasarkan psikologi perkembangan, Pensyarah Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi, Universiti Teknologi Malaysia Prof Dr Azlina Mohd Kosnin, berkata usia kronologi bukan satu-satunya penentu dalam menilai perkembangan kanak-kanak.
"Setiap kanak-kanak berkembang mengikut kadar sendiri dan ada yang mencapai kematangan awal dalam beberapa aspek. Dari perspektif ini, dasar itu boleh dilihat sebagai usaha untuk memberi peluang kepada kanak-kanak yang lebih awal matang tanpa menghalang mereka yang masih memerlukan masa," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata dasar itu merupakan langkah proaktif dalam meningkatkan daya saing pendidikan dan membina modal insan berkualiti, namun pelaksanaannya memerlukan sokongan kerajaan, institusi, pendidik, ibu bapa dan masyarakat bagi memastikan keberkesanan serta kesejahteraan kanak-kanak.
Azlina berkata pengalaman negara-negara seperti Singapura, China, Jepun, Korea Selatan, Indonesia dan Thailand yang telah lama mengamalkan pendekatan itu menunjukkan umur bukan isu utama, sebaliknya sejauh mana sistem pendidikan menyokong kesiapsiagaan dan menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif.
"Langkah ini bukan sesuatu yang luar biasa. Di United Kingdom, Australia dan Amerika Syarikat, kanak-kanak memulakan pendidikan formal seawal umur lima tahun melalui program peralihan seperti reception atau tadika sebelum memasuki Tahun Satu," tambahnya.
"Sementara itu, negara seperti Finland dan Sweden memulakan sekolah formal pada umur tujuh tahun, namun menyediakan program prasekolah wajib dan berkualiti tinggi pada umur enam tahun yang menekankan perkembangan sosioemosi dan pembelajaran berasaskan bermain," jelas beliau.
Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Datuk Dr Muhammad Ali Hassan, pula berkata pelaksanaan dasar itu wajar dan dinamik dalam memastikan jurang pedagogi pendidikan, khususnya di peringkat prasekolah, dapat diatasi secara menyeluruh.
"Kita dapat melihat jurang pendidikan bagi kanak-kanak berumur lima hingga tujuh tahun, terutamanya dari segi kurikulum dan pendekatan prasekolah. Terdapat perbezaan dari segi kandungan, penyediaan infrastruktur dan latihan guru.
Oleh itu, ia perlu diselaraskan supaya semua kanak-kanak menerima pendidikan yang secukupnya. Kita tidak mahu ada kumpulan yang terlepas pandang memasuki sekolah rendah dengan kelemahan akademik, emosi, psikologi atau persiapan yang tidak mencukupi," katanya.
Amirah Alam, 35, ibu kepada seorang anak berusia lima tahun, berkata pendedahan awal kepada pembelajaran formal memberi kelebihan kepada kanak-kanak dalam membina asas akademik dan keyakinan diri lebih awal.
"Lebih awal mereka didedahkan dengan pembelajaran, lebih baik dan cepat mereka dapat menyesuaikan diri dengan cabaran pendidikan masa depan.
"Saya melihat potensi ini kerana berdasarkan pengalaman sendiri, saya pernah lompat beberapa tahun, dari Tahun Tiga ke Tahun Lima, untuk menyesuaikan diri dengan pembelajaran. Pengalaman itu sekali gus mengasah asas pengetahuan, sesuai dengan potensi saya dan membina keyakinan diri yang kukuh," katanya.
Amirah berkata pelaksanaan dasar itu bagaimanapun bergantung kepada komitmen ibu bapa untuk memastikan anak-anak dapat mengikuti pembelajaran dengan penuh persediaan.
Langkah ini juga selaras dengan Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035 yang menekankan kerangka nilai berteraskan kemanusiaan, penguasaan teknologi baharu, selain memperkukuh kemahiran akademik, sosial dan keyakinan diri pelajar.
Semasa melancarkan RPN 2026-2035, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kanak-kanak yang berusia enam tahun boleh mengikuti pembelajaran tahun satu bermula tahun depan, bergantung kepada kesediaan murid dan ibu bapa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial