AM > BERITA

RPN 2026-2035 : Silibus Tabika, Tadika Kemas Diselaras Untuk Kanak-Kanak 3 Dan 4 Tahun

25/01/2026 02:26 PM

BAGAN DATUK, 25 Jan (Bernama) -- Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) dan Taman Didikan Kanak-Kanak (Tadika) di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) akan terus mendidik kanak-kanak berusia tiga hingga empat tahun selaras Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata silibus tabika dan tadika Kemas, termasuk tadika perpaduan, akan diselaras dan diubah suai bagi memastikan kesinambungan ke kelas prasekolah untuk kanak-kanak lima tahun di bawah Kementerian Pendidikan.

“Mesyuarat Kabinet Jumaat lalu memutuskan prasekolah diselaraskan di bawah Kementerian Pendidikan, di mana kanak-kanak berumur lima tahun diwajibkan mengikuti kelas prasekolah di sekolah kebangsaan dan sekolah lain di bawah kementerian,” katanya kepada media selepas merasmikan pecah tanah syarikat QL Inno Food Parks Bagan Datuk di sini hari ini.

Ahmad Zahid menegaskan Kemas akan meneruskan kelas sedia ada, dengan kurikulum yang disesuaikan mengikut acuan semasa, selaras langkah penyelarasan pendidikan prasekolah.

Pada 19 Jan lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kanak-kanak berusia enam tahun boleh didaftarkan ke Tahun Satu mulai sesi persekolahan 2027, melalui pelancaran RPN 2026-2035.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata pendidikan awal di bawah Kemas akan terus dipersiapkan secara teliti kerana institusi ini berperanan sebagai feeder classes (kelas persediaan) untuk kelas prasekolah lima tahun di bawah Kementerian Pendidikan.

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan