AM > BERITA

Pelarasan Jadual Bas Elektrik Tingkatkan Pengalaman Pelancong Ke Semenggoh

25/01/2026 04:13 PM

KUCHING, 25 Jan (Bernama) -- Jadual perjalanan bas elektrik percuma ke Pusat Hidupan Liar Semenggoh di sini, telah diselaras semula bagi meningkatkan pengalaman pelancong, khususnya dalam memastikan ketibaan tepat pada waktu sesi pemberian makanan orang utan.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata pelarasan itu dibuat selepas mendapati jadual terdahulu telah menyebabkan sebahagian pelancong tiba lewat, sekali gus terlepas peluang menyaksikan sesi pemberian makanan haiwan berkenaan.

“Berdasarkan jadual lama, ada bas yang tidak digunakan sepenuhnya kerana pelancong tiba selepas waktu makan orang utan. Jadi, jadual itu perlu diselaras supaya lebih memenuhi kehendak pelancong,” katanya.

“Waktu pemberian makanan orang utan di Pusat Hidupan Liar Semenggoh dibuat dua kali sehari, iaitu kira-kira 10 pagi serta antara 3 hingga 4 petang, dan jadual baharu bas kini disusun lebih awal bagi memenuhi keperluan tersebut,” katanya kepada pemberita semasa melakukan lawatan kerja menaiki bas elektrik dari Open Air Market ke Pusat Hidupan Liar Semenggoh, hari ini. 

Beliau berkata lawatan itu bagi menilai keberkesanan laluan serta jadual baharu yang diperkenalkan, selain memastikan penggunaan perkhidmatan bas elektrik itu lebih optimum serta sejajar dengan jadual aktiviti utama di pusat hidupan liar berkenaan.

Abdul Karim berkata perkhidmatan bas elektrik percuma itu turut melalui beberapa hotel utama di sekitar Kuching bagi memudahkan pergerakan pelancong dan penduduk tempatan.

Setakat ini, Kerajaan Negeri Sarawak menyediakan empat bas elektrik yang mesra alam, selaras dengan komitmen ke arah pelancongan mampan dan pengurangan pelepasan karbon.

Perkhidmatan bas elektrik percuma itu turut melibatkan perjalanan dari bandar Kuching ke Kampung Budaya Sarawak di Santubong, dengan maklumat dan jadual perjalanan boleh disemak menerusi laman web https://mtcp.sarawak.gov.my atau aplikasi Kuching Metro. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan