KUALA LUMPUR, 25 Jan (Bernama) -- Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan meneliti cadangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung penubuhan jawatankuasa khas anak muda di masjid, sebagai usaha memperkukuh peranan belia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata penelitian itu akan dibuat bersama beberapa jabatan, termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.
“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyokong penuh cadangan Perdana Menteri yang memberi ruang kepada golongan belia untuk merancang dan melaksanakan program yang memakmurkan masjid sebagai pusat pembangunan ummah dan pembinaan akhlak generasi muda,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata masjid berperanan sebagai pusat tarbiah dan pembinaan sahsiah ummah, berlandaskan contoh Nabi Muhammad SAW melalui Masjid Nabawi dan wajar diperkasakan sebagai ruang mesra anak muda yang beradab, inklusif serta patuh syariat.
Justeru, kata Zulkifli pelbagai inisiatif telah dijalankan oleh jabatannya, termasuk Program Kariah Madani dan Kuliah Zuhur oleh asatizah muda di Surau Parlimen.
Penglibatan belia juga, katanya akan diperluas melalui Himpunan Asatizah Muda Kebangsaan (Hamka) pada Februari ini yang akan menghimpunkan lebih 1,000 asatizah muda bagi memperkasakan pembangunan ummah dan penyebaran ilmu berimpak.
Semalam, Perdana Menteri dilaporkan mencadangkan supaya jawatankuasa khas anak muda ditubuhkan di setiap masjid bagi memberi ruang kepada belia merancang dan melaksanakan program kemasyarakatan dan keagamaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial