AM > BERITA

Sekolah Rintis Bangsa Johor Ubah Fizikal Sekolah, Lonjak "Mood" Belajar Murid

26/01/2026 10:16 AM

Oleh Hasnah Jusid dan Nur Fatin Mohmad Kadenen

Pelaksanaan Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) yang mula dilaksanakan tahun lepas kini menampakkan impak positif, termasuk dari sudut penerimaan masyarakat terhadap pendekatan pengajaran dan pembelajaran (PdP) berasaskan teknologi digital. Laporan ini merupakan bahagian kedua daripada lima siri berita yang mengupas pencapaian, pelaksanaan serta hala tuju SRBJ di Johor.

 

JOHOR BAHRU, 26 Jan (Bernama) -- Tidak dinafikan, skeptikal terhadap keberkesanan pengajaran dan pembelajaran (PdP) berasaskan teknologi digital menjadi antara kebimbangan utama ibu bapa murid di institusi yang terpilih sebagai Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ). 

Nazri Naim, 41, yang mempunyai dua orang anak bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Tasek Utara di sini, mengakui beliau antara ibu bapa yang pada awalnya mempunyai keraguan sedemikian kerana percaya bahawa kaedah pengajaran konvensional menggunakan papan kapur dan buku teks masih relevan serta berkesan.

Bagaimanapaun, keraguan itu tidak berpanjangan apabila beliau menyaksikan sendiri perubahan menyeluruh sekolah berkenaan selepas dinaik taraf, selain tingkah laku dan pencapaian serta kebolehan anaknya setelah SRBJ mula dilaksanakan sejak Februari tahun lepas. 

Sekolah yang dahulunya kelihatan uzur dengan infrastruktur fizikal lama kini bertukar wajah menjadi institusi pendidikan moden seakan-akan sekolah antarabangsa, dengan persekitaran pembelajaran yang kondusif dan selesa serta penggunaan teknologi digital yang canggih bagi menyokong PdP secara interaktif.

Lebih penting, setiap murid tahun empat, lima dan enam dibekalkan dengan tablet iPad yang berfungsi sebagai alat pembelajaran utama, membolehkan pelajar ‘memasuki’ dunia PdP digital antaranya melalui aplikasi Google Classroom dalam platform pembelajaran Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa) yang dibangunkan Kementerian Pendidikan (KPM).

Platform itu menyediakan bahan pengajaran interaktif serta sumber pembelajaran digital bagi menyokong pembelajaran dalam talian dan hibrid, sekali gus membolehkan murid mengakses buku teks digital, menyiapkan latihan sekolah serta menerima tugasan dan arahan guru secara berterusan.

Nazri berkata pendekatan berkenaan bukan sahaja memudahkan proses pembelajaran malah berjaya meningkatkan minat dan motivasi anak-anak untuk hadir ke sekolah serta terlibat secara aktif dalam sesi PdP.

“Rasa ingin belajar lebih meningkat. Anak-anak lebih seronok ke sekolah kerana guru menggunakan papan pintar dan bahan PdP digital. Mereka cepat pick up dan lebih mudah faham berbanding sebelum ini yang hanya menggunakan papan hitam dan kapur,” katanya.

Nor Maslina Mohd, 42, pula berkata beliau melihat perubahan pada anaknya yang kini lebih bersemangat untuk datang ke sekolah disebabkan suasana pembelajaran lebih kondusif dan selesa.

“Jika dulu guru beri arahan melalui WhatsApp atau Telegram, tapi bila dibekalkan dengan iPad semua pelajar menggunakan Google Classroom. Semua kerja sekolah, maklumat cikgu akan sampaikan melalui platform tersebut, lebih mudah dan praktikal,” katanya.

Beliau berkata setakat ini, SRBJ telah memberi kesan yang positif terhadap penguasaan bahasa Inggeris anak-anaknya.

“Di rumah kami tidak menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya, jadi kami tak nampak kebolehan sebenar mereka. Apabila guru merakam dan menghantar video pembentangan anak-anak, barulah kami sedar mereka sebenarnya boleh berkomunikasi dengan baik dalam bahasa Inggeris,” katanya.

Dilhamkan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail pada 2024 atas keprihatian tidak mahu murid di Johor tercicir,  SRBJ bersandarkan kepada empat teras iaitu Penguasaan Bahasa Inggeris, Kecemerlangan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik), Kebolehpasaran dan Sahsiah Murid dan Pentaksiran dan Kompetensi Murid.

Sebanyak 2,500 tablet iPad dibekalkan kepada murid tahun empat, lima dan enam di empat SRBJ dengan kemudahan Internet berkelajuan tinggi, selain fasiliti serba moden termasuk penggunaan papan pintar di setiap kelas.

Sementara itu, Danial Rahmat, 38, bapa kepada murid di sekolah tersebut berkata SRBJ yang menekankan pembelajaran secara digital turut memberi kesan positif terhadap penguasaan bahasa Inggeris.

"Seperti anak-anak zaman sekarang, anak saya suka lihat gajet seperti telefon, jadi apabila mereka dapat tablet perasaan ingin tahu meningkat dan lebih bersemangat untuk belajar. Secara tidak langsung, saya lihat penguasaan bahasa Inggeris mereka semakin meningkat dengan bimbingan guru," katanya.

Fateha Novianti Azani, 37, pula berkata perubahan ketara dapat dilihat terhadap sikap dan keyakinan anaknya sejak pelaksanaan pembelajaran digital di sekolah apabila anaknya yang merupakan seorang yang pemalu, kini tampil lebih berkeyakinan apabila suasana pembelajaran menjadi lebih interaktif dengan papan pintar. 

Sehubungan itu, beliau berkata inisiatif pendigitalan pendidikan bukan sahaja berupaya meningkatkan minat pelajar terhadap pembelajaran malah turut membentuk keyakinan diri dan kemahiran komunikasi dalam kalangan murid, sekali gus memberi nilai tambah kepada perkembangan akademik dan sahsiah mereka.

Guru Besar SK Tasek Utara Uzaini Abdul Razak berkata sambutan terhadap SRBJ amat menggalakkan apabila sekolah berkenaan menerima permintaan tinggi daripada ibu bapa yang ingin menempatkan anak mereka di sekolah tersebut, namun kapasiti pengambilan murid adalah terhad.

Beliau berkata situasi itu secara tidak langsung mencerminkan keyakinan ibu bapa terhadap pendekatan pendidikan digital dan hala tuju SRBJ meskipun pelaksanaannya masih di peringkat awal.

Secara keseluruhan, projek SRBJ melibatkan peruntukan RM54 juta, dengan RM31.22 juta bagi Fasa Satu dan RM22.78 juta bagi Fasa Dua, merangkumi kerja naik taraf infrastruktur serta pelaksanaan modul pendidikan berimpak tinggi.

Selain SK Tasek Utara, tiga lagi sekolah rintis bagi program SRBJ yang bermula sesi 2025/2026 adalah SK Seri Kota Puteri 4, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kota Puteri 2 dan SMK Tasek Utara yang mengaplikasikan konsep pendekatan feeder–acceptor antara sekolah rendah dan menengah bagi memastikan kesinambungan pembangunan pelajar dari peringkat awal hingga ke peringkat yang lebih tinggi.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan