AM > BERITA

RPTM 2026-2035: UTM Cadang Bina 2,000 Kediaman Mahasiswa, Tambahan 300 Tempat Pengajian

26/01/2026 04:30 PM

JOHOR BAHRU, 26 Jan (Bernama) -- Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menjangkakan penambahan 300 tempat bagi pelajar tempatan dapat dilaksanakan di universiti itu selaras dengan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035.

Naib Canselor UTM Prof Dr Mohd Shafry Mohd Rahim berkata perancangan itu antaranya melibatkan bidang perakaunan, kecerdasan buatan (AI), kejuruteraan data serta program berkaitan semi konduktor.

"Seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, daripada 1,500 pertambahan (di universiti), (setakat ini) mengikut anggaran kasar lebih kurang 300 tempat kita akan sumbang," katanya pada sidang media selepas Majlis Perutusan Tahun Baharu Naib Canselor 2026, di sini hari ini.

Beliau berkata UTM turut merancang untuk menambah 2,000 unit kediaman mahasiswa di tanah berkeluasan 23.5 hektar di Setapak, Kuala Lumpur.

Mohd Shafry berkata pihaknya sedang menunggu maklumat lanjut daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) termasuk rancangan kerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi pembinaan kediaman itu.

"Kita telah mendapat kebenaran merancang, jadi apabila dapat kebenaran merancang itu maknanya ia sudah sedia untuk dibangunkan.

"Jadi kita anggarkan, mungkin dengan inisiatif ini, kita boleh tawarkan tempat (kepada KPT untuk pembinaan kediaman), (memandangkan) dalam UTM memang ada pertambahan pelajar," katanya.

Beliau berkata  langkah itu bukan sahaja memanfaatkan pelajar UTM, tetapi juga warga berhampiran yang turut memerlukan kediaman.

RPTM yang disempurnakan Anwar pada 20 Jan lepas, antaranya menggariskan perkara berkenaan merangkumi tambahan 1,500 tempat untuk kursus di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), pendidikan percuma pelajar orang kurang upaya (OKU) serta penyediaan 5,000 penginapan tambahan dengan kerjasama universiti dan pelaburan GLC.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan