AM > BERITA

Hakisan Pantai Batu Ferringhi, Tanjong Bungah: JPS Laksana Langkah Mitigasi

27/01/2026 12:00 PM

GEORGE TOWN, 27 Jan (Bernama) -- Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang mengambil tindakan bagi menyelesaikan masalah hakisan tanah di pesisir pantai Tanjong Bungah dan Batu Ferringhi, yang merupakan destinasi popular di Pulau Pinang.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri Zairil Khir Johari berkata kerajaan negeri mengambil perhatian serius isu itu yang memberikan kesan pada keindahan pantai, keselamatan pengunjung serta aktiviti pelancongan setempat.

"Bagi menangani isu hakisan di kawasan pesisir pantai Tanjong Bungah yang melibatkan pantai Hotel Mercure, Skyhome Apartment dan Chinese Swimming Club, JPS telah menyiapkan laporan teknikal berkenaan hakisan dan seterusnya dalam usaha untuk memohon peruntukan bagi melaksanakan tindakan mitigasi segera.

“Untuk kawasan pesisir pantai Hotel Bayview, Lone Pine, Golden Sands dan Shangri-La di Batu Ferringhi, JPS akan melaksanakan tindakan mitigasi jangka pendek, iaitu penambahan beg pasir,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zairil berkata JPS juga telah mengemukakan permohonan peruntukan bagi 2026 melalui kerajaan Persekutuan sebagai usaha berterusan untuk mengurangkan kesan hakisan di beberapa lokasi yang dikenal pasti terjejas.

Beliau berkata kerajaan Persekutuan turut meluluskan Projek Pembinaan Outfall dan Struktur Mencegah Hakisan Pantai dengan peruntukan sebanyak RM61 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK2) Rolling Plan 5 (RP5), sebagai langkah mitigasi jangka panjang. 

Zairil berkata projek itu bertujuan mengurangkan kadar hakisan di sepanjang pesisir pantai serta memastikan kawasan pantai kekal selamat, stabil dan berdaya tarikan sebagai destinasi pelancongan utama.

Mengulas kemajuan semasa projek itu, beliau berkata kerja-kerja ukur hidrografi di tapak telah siap dilaksanakan pada Dis 2025, manakala proses pelantikan perunding kini sedang dijalankan oleh JPS dan dijangka dimuktamadkan pada hujung Februari 2026.

“Pelaksanaan kerja-kerja fizikal akan dimulakan selepas pelan reka bentuk terperinci disiapkan sepenuhnya,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata JPS kini sedang melaksanakan Kajian Semula Pelan Pengurusan Pantai Bersepadu Negeri Pulau Pinang (ISMP) yang dijangka siap pada suku ketiga 2027.

Beliau berkata kajian itu bertujuan menjadi panduan kepada kerajaan negeri dalam mengenal pasti pantai-pantai yang berisiko mengalami hakisan supaya perancangan dan pelaksanaan langkah pencegahan dapat dilakukan secara berperingkat, lebih sistematik dan menyeluruh.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan