AM > BERITA

JPPKK Garis 13 Iltizam Hadapi Cabaran TVET Masa Hadapan

27/01/2026 03:32 PM

JASIN, 27 Jan (Bernama) -- Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) menggariskan 13 iltizam yang akan dilaksanakan dalam mendepani cabaran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) masa kini dan akan datang.

Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Dr Shamsuri Abdullah berkata iltizam berkenaan perlu dilaksanakan kerana tahun ini menjadi fasa penting untuk meletakkan semula kedudukan Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) melalui pengenalan Pendidikan Teknikal dan Profesional (PTE).

"Antara iltizam penting yang dikemukakan ialah penjenamaan POLYCC sebagai pelopor PTE, pemerkasaan kolej komuniti, perundangan POLYCC, pembudayaan konsep pengoptimuman dan penggabungan, dasar tiada pelajar yang ketinggalan serta memperhebat pengantarabangsaan.

"Iltizam berkenaan ialah kompas dan kerangka tindakan yang perlu dilaksanakan warga POLYCC ke arah hala tuju baharu bagi mengangkat reputasi TVET selaras dengan amalan negara maju," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata iltizam itu ialah sebahagian daripada agenda transformasi JPPKK menerusi tema "Reformasi POLYCC Memacu Lonjakan TVET Negara" yang dilancarkan bersempena dengan Majlis Aspirasi Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (KPPK) 2026 di Politeknik Merlimau Melaka, di sini semalam.

Dalam pada itu, katanya warga POLYCC perlu berani membebaskan diri daripada zon selesa dan melaksanakan reformasi yang berfokus, berdisiplin, serta berasaskan fakta bagi memastikan POLYCC kekal sebagai penyumbang terbesar tenaga kerja mahir negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan