IPOH, 27 Jan (Bernama) -- Kerajaan negeri menerusi Yayasan Perak menyediakan bilik multisensori di Sekolah Kebangsaan (SK) Coronation Park sebagai sebahagian daripada pelaksanaan Program Naungan Kasih Autisme, iaitu inisiatif sokongan pendidikan bagi membantu perkembangan murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).
Pengurus Besar Yayasan Perak Dr Nasreen Khanum Nawab Zadah Khan berkata penyediaan bilik multisensori di sekolah adalah antara pendekatan praktikal bagi menyokong keperluan pembelajaran murid dengan spektrum autisme dalam persekitaran yang lebih kondusif dan mesra murid.
"Yayasan Perak percaya bahawa murid dalam spektrum autisme memerlukan sokongan pembelajaran yang sesuai dengan keperluan mereka.
"Penyediaan bilik multisensori di sekolah membolehkan sokongan asas ini diberikan kepada murid dengan lebih dekat, dalam suasana yang terkawal dan selamat," katanya ketika ditemui pemberita selepas penyerahan bilik multisensori bersempena dengan Program Sentuhan Autisme Peringkat Negeri Perak di sekolah berkenaan, di sini hari ini.
Nasreen Khanum berkata Program Naungan Kasih Autisme yang digerakkan dengan kerjasama antara Pertubuhan Wanita Prihatin Perak dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak itu memfokuskan kepada penyediaan sokongan pembelajaran yang boleh dimanfaatkan secara berterusan pada peringkat sekolah.
Beliau berkata inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen Yayasan Perak untuk memastikan murid berkeperluan khas terus mendapat peluang pembelajaran yang sesuai, tanpa kekangan latar belakang sosioekonomi.
"Melalui usaha bersama ini, Yayasan Perak berharap kemudahan seperti bilik multisensori dapat memberikan manfaat berpanjangan kepada murid-murid PPKI, khususnya dalam membantu pengurusan emosi, tumpuan serta kesejahteraan pembelajaran mereka," katanya.
Nasreen Khanum berkata pihaknya kini dalam proses mengkaji dan mengadakan perbincangan dengan JPN Perak bagi mengenal pasti keperluan yang boleh disokong untuk membantu murid PPKI.
Langkah itu katanya, selaras dengan peranan yayasan berkenaan sebagai agensi yang dipertanggungjawabkan untuk membantu memperkukuh pembangunan pendidikan, terutamanya dalam memastikan akses pembelajaran lebih menyeluruh kepada semua lapisan masyarakat.
Sementara itu, Guru Besar SK Coronation Park Fazli Mohd Zairy berkata kemudahan serta peralatan yang disediakan Yayasan Perak bukan sahaja membantu meningkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran, malah turut meringankan beban guru dari segi kekangan kemudahan sedia ada.
"Guru lebih mudah mengajar apabila kemudahan mencukupi. Murid-murid pula memang teruja apabila ada alatan seperti yang kita terima hari ini, sekali gus menambah minat dan motivasi mereka untuk belajar," katanya.
Fazli berkata terdapat 86 Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) di sekolah berkenaan dengan kira-kira 68 peratus daripadanya terdiri daripada murid autistik.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial