AM > BERITA

MCMC Terbit Laporan Siasatan Awam Berkaitan Pendaftaran Sim Prabayar

28/01/2026 05:16 PM

PUTRAJAYA, 28 Jan (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerbitkan Laporan Siasatan Awam berhubung cadangan Penentuan Suruhanjaya bagi Standard Mandatori untuk Pendaftaran Pengguna Perkhidmatan Selular Awam Prabayar (Standard Mandatori), selaras dengan Seksyen 65, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998).

Menurut MCMC, laporan berkenaan boleh diakses di https://mcmc.gov.my/en/resources/reports/public-inquiry-report/public-inquiry-report-on-the-new-commission-determ, dan merangkumi semua maklum balas yang diterima serta penilaian akhir dan pendirian dasar suruhanjaya terhadap Standard Mandatori yang dicadangkan.

“Penerbitan laporan ini menegaskan komitmen MCMC terhadap pembangunan rangka kawal selia yang telus dan berasaskan rundingan.

“Susulan itu, MCMC akan mengeluarkan dan mendaftarkan Standard Mandatori sebagai Penentuan Suruhanjaya mengikut Seksyen 55 dan 104(4) AKM 1998, beserta set Soalan Lazim (FAQ), menjelang akhir Februari 2026,” menurut kenyataan MCMC hari ini.

Laporan ini merupakan hasil Siasatan Awam yang dijalankan di bawah Seksyen 55 dan 61 AKM 1998, susulan penerbitan Kertas Siasatan Awam pada 14 Okt 2025.

Tempoh siasatan minimum 45 hari berakhir pada 28 Nov 2025, dengan MCMC menerima 15 penghujahan, terdiri daripada 10 penyedia perkhidmatan dan lima daripada orang awam.

MCMC menegaskan kelemahan pendaftaran prabayar semasa membolehkan pemalsuan dokumen dan kecurian identiti, sekali gus menimbulkan risiko terhadap keselamatan pengguna, keselamatan negara, dan integriti perkhidmatan digital.

“Rangka kawal selia sedia ada perlu diperkukuh bagi menangani amalan pendaftaran yang tidak konsisten serta kewujudan kad SIM praaktif dan pendaftaran palsu di pasaran,” menurut MCMC.

Maklum balas yang diterima menunjukkan sokongan meluas daripada pihak industri dan orang awam terhadap keperluan memperketat proses pendaftaran prabayar bagi melindungi pengguna dan meningkatkan keyakinan terhadap perkhidmatan digital, menurut kenyataan itu.

Standard Mandatori yang dicadangkan memperkenalkan rangka kawal selia lebih ketat, termasuk platform pendaftaran automatik yang selamat, pengesahan biometrik, dan penetapan tanggungjawab jelas bagi penyedia perkhidmatan serta pengedar.

“Antara penambahbaikan utama ialah pengintegrasian MyDigital ID sebagai mekanisme pengesahan bagi individu yang memiliki identiti digital, menyokong inisiatif identiti digital nasional kerajaan dan meningkatkan integriti proses pendaftaran kendiri,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan