AM > BERITA

Kerajaan Tegas Perkukuh Tatakelola, Tiada Lagi Kompromi Terhadap Ketirisan - KSN

28/01/2026 05:16 PM

PUTRAJAYA, 28 Jan (Bernama) -- Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menegaskan ketegasan kerajaan memberikan tempoh seminggu kepada kepimpinan agensi penguatkuasaan adalah mesej jelas bahawa tiada lagi ruang untuk kompromi terhadap ketirisan dan kelemahan tatakelola.

Beliau berkata langkah itu selaras dengan tekad Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memperkukuh integriti dan menutup kelompangan yang membolehkan manipulasi dana awam.

Beliau berkata langkah itu juga seiring pengumuman Perdana Menteri pada 5 Jan lepas bahawa tahun ini adalah ‘tahun untuk pelaksanaan yang lebih pantas’.

“Maknanya kami kena pastikan pematuhan kepada tatakelola dan memperkasakan tadbir urus. Jadi, pada tahun ini kami akan banyak membuat penguatkuasaan dan kami akan membanteras rasuah, salah guna kuasa dan yang tidak mengikut peraturan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas amaran keras Perdana Menteri kepada pengurusan tertinggi agensi penguatkuasaan pada majlis amanat bersama ketua-ketua jabatan, agensi penguatkuasaan yang berhubungan dengan jenayah kewangan anjuran Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) di sini hari ini.

Shamsul Azri ketika ditanya kenapa tempoh seminggu diberikan oleh Perdana Menteri berkata ia menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk bertindak cepat dan tidak bertangguh.

“Kami lebih cepat jika tidak kami beri satu bulan. Kami melakukannya dengan sangat pantas,” katanya.

Dalam pada itu, Shamsul Azri berkata isu berkaitan penguatkuasaan dan amanat Perdana Menteri akan dibangkitkan dalam mesyuarat Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) pada petang ini.

“Saya akan bangkitkan dalam mesyuarat STAR dan huraikan apa yang Datuk Seri (Perdana Menteri) umumkan tadi,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memberi tempoh seminggu kepada pimpinan tertinggi pasukan penguat kuasa untuk mengesahkan kesediaan mereka memikul amanah dan tanggungjawab atau memilih untuk bertukar ke jawatan lain.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan