AM > BERITA

Pembaharuan Segera Undang-undang Jenayah Dibentang Pada Sesi Parlimen Akan Datang - Azalina

28/01/2026 05:40 PM

KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Pembaharuan segera di bawah inisiatif “Quick Win” bagi memperkukuh sistem keadilan jenayah Malaysia dijangka dibentangkan untuk perbahasan pada sesi Parlimen akan datang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata beliau berharap cadangan pindaan itu akan meraih sokongan Ahli Parlimen dan Senator dalam usaha memastikan penambahbaikan terhadap proses serta perlindungan undang-undang dapat dilaksanakan dengan segera.

“Jadi, melalui inisiatif Quick Win, kita berharap menjelang trimester kedua persidangan Parlimen, beberapa seksyen dapat dibentang untuk dibahaskan oleh Ahli Parlimen dan Senator, yang akan membawa perubahan diperlukan oleh negara ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Keadilan Jenayah dan Reformasi Undang-Undang bertajuk Criminal Justice in a New Age di sini hari ini.

Sebelum ini, Azalina berkata Jawatankuasa Pembaharuan Undang-Undang Jenayah telah mengenal pasti beberapa pembaharuan segera yang boleh dilaksanakan dalam jangka pendek untuk manfaat masyarakat.

Beliau berkata ia termasuk pemansuhan hukuman sebatan, memberikan lebih kuasa budi bicara kepada hakim dalam menjatuhkan hukuman dan menambah baik proses tahanan reman.

Dalam perkembangan lain, Azalina berkata pembaharuan undang-undang jenayah perlu seiring dengan perkembangan global termasuk perubahan pesat teknologi yang memberi kesan kepada prosedur perundangan dan pentadbiran mahkamah.

“Kita perlu terus melangkah ke hadapan… jika tidak, kita akan ketinggalan.

“Jadi, dalam konteks tahun 2026, ahli politik kita perlu menyedari bahawa perubahan harus dilakukan bukan dari sudut politik sebaliknya dalam cara kita melaksanakan sesuatu,” katanya.

Terdahulu, Azalina dalam ucaptama pada konvensyen itu berkata pembaharuan undang-undang jenayah harus bermula dengan menangani risiko sabitan salah dan memastikan perlindungan yang mencukupi sepanjang proses perundangan.

Beliau berkata sistem keadilan yang matang perlu bersedia meneliti bagaimana kekhilafan boleh berlaku serta cara ia diperbetul selain menambah keadilan tidak berakhir selepas sabitan dan akan berterusan selagi kebebasan seseorang masih menjadi taruhan.

Azalina juga berkata pembaharuan undang-undang jenayah tidak boleh dicapai melalui satu institusi sahaja sebaliknya memerlukan tanggungjawab bersama merentasi pelbagai pihak berkepentingan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan