AM > BERITA

Cuaca Panas, Kering Di Utara Negara Bukan Fenomena Luar Biasa

28/01/2026 07:41 PM

Oleh Mohd Fharkhan Abdul Ghapar

KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Keadaan cuaca panas, kering dan berangin yang sedang dialami kawasan utara Semenanjung Malaysia, atau lebih dikenali sebagai ‘musim timur’, bukan fenomena luar biasa, sebaliknya merupakan keadaan cuaca lazim semasa tempoh peralihan pergerakan Monsun Timur Laut (MTL).

Pakar meteorologi Universiti Malaya (UM) Prof Emeritus Datuk Dr Azizan Abu Samah berkata MTL dipengaruhi luruan monsun (cold surge), iaitu angin timur laut atau timur yang kencang, serta zon penumpuan tekanan rendah yang dikenali sebagai ‘monsoon trough’.

Profesor Institut Sains Laut dan Bumi (IOES), UM itu berkata dalam tempoh Januari hingga Februari, ‘monsoon trough’ bergerak ke selatan sejajar dengan pergerakan suria, berbanding kedudukannya di utara Semenanjung dan selatan Thailand pada awal MTL antara November hingga Disember, yang lazimnya membawa hujan lebat.

“Keadaan panas dan kering ketika ini berada dalam kelaziman iklim di utara Semenanjung dan selatan Thailand kerana zon monsoon trough telah bergerak ke bahagian selatan Laut China Selatan.

“Negeri-negeri di utara kini berada di luar zon penumpuan tersebut, menyebabkan mereka mengalami musim timur atau musim kering dengan langit cerah, cuaca kering dan berangin, manakala taburan hujan dijangka meningkat mulai April,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata susulan pergerakan zon ‘monsoon trough’ itu, kawasan di selatan Semenanjung termasuk Johor serta Sabah dan Sarawak kini menerima taburan hujan yang lebih kerap.

Selain itu, katanya fenomena Madden-Julian Oscillation (MJO) atau Ayunan Madden-Julian, iaitu keadaan yang mempengaruhi pembentukan ribut petir dan cuaca lembap di kawasan tropika, kini berada pada fasa kering bagi kawasan utara negara.

Fenomena MJO merupakan sebahagian daripada variasi iklim bermusim di kawasan tropika yang berayun dalam tempoh antara 20 hingga 60 hari dan lazim berlaku ketika ketiadaan fenomena El Nino atau La Nina.

Mengulas lanjut, Azizan berkata keadaan cuaca semasa masih berada dalam paras normal dan dijangka tidak memberi kesan besar terhadap aktiviti harian masyarakat, termasuk bekalan air.

“Keadaan ini tidaklah genting kerana pada November dan Disember lalu terdapat taburan hujan yang tinggi. Justeru, paras empangan masih berada pada kapasiti penuh dan mampu bertahan sehingga April.

“Isu utama hanyalah cuaca panas, namun suhunya tidak mencecah sehingga 40 darjah Celsius. Purata suhu ketika ini sekitar 34 hingga 35 darjah Celsius sahaja,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi hantaran di Facebook semalam (Selasa, 27 Jan) memaklumkan enam lokasi di Semenanjung merekodkan bilangan hari tanpa hujan melebihi tujuh hari berturut-turut, iaitu seluruh Perlis (30 hari), Pulau Langkawi, Kedah (27 hari) dan Melaka Tengah, Melaka (23 hari).

Turut merekodkan tempoh tanpa hujan ialah daerah Barat Daya, Pulau Pinang dan Kuala Langat, Selangor masing-masing selama 23 hari, serta Kota Setar, Kedah selama 20 hari.

Menurut Laporan Tinjauan Cuaca Jangka Panjang Januari hingga Jun 2026 oleh MetMalaysia, keadaan lembap dijangka mendominasi kawasan utara Semenanjung dan Sabah pada fasa awal, manakala pengurangan taburan hujan berpotensi berlaku menjelang pertengahan hingga akhir tempoh ramalan, khususnya di kawasan tengah dan selatan Semenanjung serta Sarawak.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan